
COX’S BAZAR, 20 November – Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) menggesa Myanmar membawa pulang ratusan ribu pelarian Rohingya, sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan negara itu telah melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap etnik minoriti berkenaan.
- Gesaan agar Myanmar membenarkan pemulangan Rohingya secara sukarela, selamat dan bermaruah sambil mematuhi undang-undang antarabangsa.
- Desakan supaya masyarakat antarabangsa memaksa pematuhan keputusan mahkamah dan menambah pembiayaan bantuan kepada kem pelarian.
- Tuntutan siasatan, pendakwaan, pampasan dan langkah perlindungan untuk mengelak keganasan serupa berulang selepas pengiktirafan genosid oleh ICJ.
“Myanmar mesti membawa pulang etnik Rohingya. Sesuatu penghakiman di atas kertas bukanlah keadilan dalam kehidupan sebenar. Kini keputusan itu mesti dilaksanakan,” kata Dr Khalilur Rahman kepada ribuan pelarian yang berkumpul di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.
Beliau turut menggesa mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat tindakan Myanmar dibenarkan pulang dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah.
“Saya menggesa Myanmar supaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, mematuhi undang-undang antarabangsa dan membuktikan bahawa negara itu mampu mengambil tindakan bermakna bagi memenuhi ketetapan mahkamah,” kata Rahman.
Pada masa sama, beliau mendesak masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab besar untuk memastikan keputusan berkenaan dilaksanakan.
“Kita mesti bertindak bersama-sama bagi mendesak pematuhan sepenuhnya. Hanya dengan itu penghakiman ini akan membawa perubahan dalam kehidupan etnik Rohingya,” katanya.
Rahman yang juga Menteri Luar Bangladesh turut menggesa supaya bantuan kepada pelarian diteruskan, namun menegaskan bahawa Dhaka tidak boleh diharapkan untuk menanggung keseluruhan kos berkenaan secara bersendirian.
“Masyarakat antarabangsa, khususnya rakan pembangunan mesti meningkatkan pembiayaan bagi usaha bantuan kemanusiaan di kem-kem pelarian ini,” katanya.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai wakil tinggi Bangladesh bagi isu Rohingya juga menuntut supaya Myanmar menyiasat dan mendakwa individu yang disyaki terlibat dalam genosid memberikan pampasan kepada mangsa serta memperkenalkan langkah perlindungan bagi mengelakkan kekejaman serupa daripada berulang.
“Biarlah sejarah merekodkan 19 November 2026 sebagai hari bermulanya perjalanan pulang ke tanah air buat anda semua,” katanya kepada orang ramai.
Keputusan oleh ICJ itu menandakan kali pertama dalam tempoh 80 tahun penubuhannya, mahkamah berkenaan memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid, sekali gus menjadi kemenangan kepada perjuangan panjang etnik minoriti yang majoritinya beragama Islam itu untuk menuntut keadilan.
Ratusan pelarian Rohingya menyaksikan prosiding mahkamah menerusi skrin besar di sini pada Khamis, dengan ramai antara mereka tidak dapat menahan sebak sebaik keputusan diumumkan. -AFP