
PALANGKARAYA, 27 Oktober – Lebih 300,000 orang mengalami jangkitan saluran pernafasan ketika krisis kebakaran hutan berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia.
- Jerebu kebakaran hutan memberi kesan besar terhadap kesihatan; penduduk alami mata pedih, sakit tekak dan batuk.
- Di Palangkaraya, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan bagi jangkitan pernafasan sejak Ogos.
- Kebakaran memusnahkan hampir dua juta hektar tanah dan asap merebak ke Malaysia, Singapura dan Timor Leste.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jerebu akibat kebakaran itu memberi kesan besar terhadap kesihatan penduduk, termasuk di Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Di bandar itu sahaja, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan bagi jangkitan pernafasan sejak Ogos lalu hingga kini.
Pekerja pembinaan, Sudarsono berkata, beliau jatuh sakit selepas membantu memadam kebakaran yang semakin menghampiri kawasan kediamannya.
Seorang penduduk Palangkaraya, Siti Jumiati pula berkata, pencemaran udara menyebabkan mata pedih, sakit tekak dan batuk.
Seorang lagi penduduk, Alexandra Surya Habsari menyifatkan situasi berkenaan sebagai membimbangkan apabila orang ramai terpaksa menghidu udara tercemar setiap hari.
“Sepatutnya kita dapat melihat langit biru, menghirup oksigen, melihat matahari dan menikmati udara bersih. Tetapi apabila keadaan jadi begini, apa yang kita hirup ialah racun,” katanya.
Setakat ini, kebakaran tersebut telah memusnahkan hampir dua juta hektar tanah di Indonesia.
Asap daripada kebakaran tersebut turut merebak melangkaui sempadan negara itu sehingga menjejaskan Malaysia, Singapura dan Timor Leste. – AFP