Gas rumah hijau capai paras tertinggi, pacu kenaikan suhu global

Foto AFP

GENEVA, 27 Oktober – Kepekatan tiga gas rumah hijau utama di atmosfera meningkat ke paras tertinggi baharu pada 2025, sekali gus memacu kenaikan suhu global dalam jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • WMO: Gas rumah hijau memerangkap haba belum pernah berlaku, membekal tenaga kepada cuaca lebih ekstrem serta meningkatkan risiko kepada ekonomi dan masyarakat.
  • Kepekatan 2025: CO2 426.8 ppm, metana 1,948 bahagian per bilion, nitrus oksida 339.1 bahagian per bilion.
  • CO2 menyumbang kira-kira 66 peratus daripada kesan pemanasan manakala kira-kira separuh pelepasan tahunan kekal di atmosfera.
  • Pertambahan 2.8 ppm antara 2024-2025 rendah berbanding tahun sebelumnya, namun WMO amaran peningkatan berterusan pada 2026 disebabkan bahan api fosil dan El Niño.

Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Ko Barrett memaklumkan, tiga gas berkenaan termasuk karbon dioksida (CO2), metana dan nitrus oksida.

“Gas rumah hijau kini memerangkap jumlah haba yang belum pernah berlaku sebelum ini di atmosfera, sekali gus membekalkan tenaga kepada cuaca lebih ekstrem serta meningkatkan risiko kepada ekonomi dan masyarakat.

“Sebelas tahun lalu merupakan tempoh paling panas pernah direkodkan dan trend ini dijangka berterusan,” katanya.

Menurut Buletin Gas Rumah Hijau tahunan ke-22 WMO, kepekatan CO2 pada 2025 mencecah 426.8 bahagian per juta (ppm), metana 1,948 bahagian per bilion, manakala nitrus oksida 339.1 bahagian per bilion.

Paras itu masing-masing bersamaan 153 peratus, 267 peratus dan 126 peratus berbanding tahap praindustri sebelum 1750.

Laporan itu diterbitkan menjelang Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu COP31 di Antalya, Turkiye yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 November ini.

Daripada tiga gas utama berkenaan, CO2 menyumbang kira-kira 66 peratus daripada kesan pemanasan terhadap iklim.

Kira-kira separuh daripada keseluruhan CO2 yang dilepaskan setiap tahun kekal di atmosfera, manakala selebihnya diserap daratan dan lautan.

Antara 2024 dan 2025, purata kepekatan global CO2 meningkat 2.8 ppm, lebih rendah berbanding lonjakan rekod 3.6 ppm antara 2023 dan 2024.

Pegawai Saintifik Kanan WMO, Oksana Tarasova berkata, keadaan itu mencerminkan pemulihan keupayaan daratan menyerap karbon serta pengurangan pelepasan akibat kebakaran selepas fenomena El Niño kuat pada 2023 dan 2024.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peningkatan 2.8 ppm masih tinggi dan terus didorong pembakaran bahan api fosil.

Kadar berkenaan juga melebihi purata pertumbuhan sedekad lalu sebanyak 2.6 ppm, berbanding hanya 0.8 ppm pada 1960-an.

Tarasova turut memberi amaran kepekatan gas rumah hijau dijangka terus meningkat pada 2026 susulan pembakaran bahan api fosil dan perkembangan fenomena El Niño yang kuat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.