
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Krisis yang berterusan di Gaza dijangka meninggalkan kesan jangka panjang terhadap aspek sosial dan kesihatan generasi akan datang berikutan keruntuhan sistem penjagaan kesihatan dan pendidikan di wilayah itu.
- Komplikasi kehamilan meluas, kira-kira 60,000 wanita mengalami masalah serius termasuk keguguran, dan kadar kesuburan menurun akibat kesukaran hidup.
- Struktur sosial musnah, ratusan ribu tinggal dalam khemah tanpa privasi, sesetengah keluarga berpindah sehingga 15 kali.
- Kerosakan sistem pembetungan dan sisa pepejal, ketiadaan air bersih, larangan racun perosak, menyebabkan penularan penyakit kulit dan kesihatan merosot.
- Usaha pemulihan diteruskan: pendidikan melalui e-pendidikan, peluang pekerjaan, pembayaran digital dan sokongan antarabangsa untuk membuka sekatan.
Menteri Pembangunan Sosial dan Bantuan Palestin Dr Samah Hamad berkata kanak-kanak khususnya yang dilahirkan selepas perang pada Oktober 2023, tidak mendapat pemakanan yang sempurna manakala kira-kira 60,000 wanita berdepan komplikasi serius berkaitan kehamilan, termasuk keguguran.
“Kita bercakap mengenai 60,000 wanita yang berdepan masalah besar dalam perkara ini. Kadar kesuburan di Gaza merosot dengan ketara dan sudah tentu keadaan ini berpunca daripada kesukaran yang dialami di Gaza,” katanya dalam program Bernama World terbitan Bernama TV. Beliau yang berada di Tebing Barat ditemu bual secara dalam talian pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata hampir tiga tahun selepas perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, struktur sosial di wilayah itu musnah, dengan ratusan ribu penduduk tinggal dalam khemah untuk tempoh yang lama tanpa privasi manakala sesetengah keluarga terpaksa berpindah tempat perlindungan sementara mereka sehingga 15 kali.
Samah berkata penduduk yang dipindahkan juga berdepan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing, termasuk serangan tikus, manakala lebih 500,000 orang dilaporkan menghidap penyakit kulit.
“Israel tidak membenarkan racun perosak dibawa masuk ke Gaza. Serangan ke atas Gaza turut memusnahkan sistem pengurusan sisa pepejal dan sistem pembetungan. Tiada bekalan air bersih. Malangnya, penduduk terpaksa hidup dalam keadaan sukar yang menyebabkan penularan penyakit,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan situasi kemanusiaan yang mencabar, beliau berkata usaha membangunkan agenda reformasi Gaza dan memperkukuh struktur institusinya tetap diteruskan sebagai komitmen jangka panjang untuk membangunkan semula masyarakat agar mampu berdikari.
Samah berkata penduduk Gaza kekal komited memastikan pendidikan diteruskan, khususnya untuk kanak-kanak, selain mewujudkan peluang pekerjaan di wilayah itu memandangkan kira-kira 60 peratus penduduknya berusia bawah 30 tahun.
“Rakyat Palestin tidak mahu bergantung kepada bungkusan makanan dan bantuan kemanusiaan. Mereka mahu bekerja. Itulah yang kami beri tumpuan, iaitu menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata melalui sistem e-pendidikan, kira-kira 100,000 pelajar di Gaza dan Tebing Barat menduduki peperiksaan sekolah menengah, selain peluang pekerjaan berkaitan bantuan kemanusiaan turut diwujudkan, termasuk dalam pengurusan sisa pepejal, pengagihan bantuan dan sokongan psikologi.
Samah berkata meskipun kemusnahan yang berlaku amat besar, sistem pembayaran digital terus berkembang di Gaza, membolehkan pihak berkuasa bersama agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga yang memerlukan memandangkan wang tunai tidak dibenarkan memasuki Gaza sejak 17 tahun lalu.
“Kami menyalurkan wang kepada keluarga di Gaza melalui pembayaran digital. Kami terus memajukan teknologi dan sistem pembayaran kerana ia merupakan satu keperluan yang amat mendesak,” katanya.
Samah turut merakamkan penghargaan tulus kepada kerajaan Malaysia, rakyat Malaysia dan pihak media atas sokongan mereka terhadap rakyat Palestin, selain menyeru tekanan antarabangsa diteruskan bagi menamatkan sekatan ke atas Gaza.
“Kami (Palestin) benar-benar memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa agar Israel membenarkan dan membuka semua sekatan ke atas Gaza agar lebih banyak makanan dan ubat-ubatan dapat disalurkan kepada kanak-kanak,” katanya.- BERNAMA