
CHILE, 17 Julai – Ribut kuat melanda sebahagian kawasan pesisir Chile pada Khamis, membawa hujan lebat, ombak besar serta angin kencang sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan memaksa penduduk berpindah.
- Lebih 500,000 penduduk di La Araucania, Biobio, Maule dan Valparaiso mengalami gangguan bekalan elektrik.
- Kerajaan menggerakkan usaha memulihkan bekalan elektrik, Presiden Kast berkata persediaan telah dilakukan.
- Langkah keselamatan diambil: sesi persekolahan digantung di sembilan wilayah, keluarga dipindahkan, pihak berkuasa membersihkan pokok tumbang.
Ribut berkenaan turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus kepada lebih 500,000 penduduk di wilayah La Araucania, Biobio, Maule dan Valparaiso.
Presiden Chile, José Antonio Kast berkata, kerajaan telah melakukan segala persiapan yang termampu bagi menghadapi bencana tersebut.
“Kami percaya segala usaha yang mampu telah dilakukan untuk menghadapi kejadian cuaca ini. Mudah-mudahan kerosakan besar dapat dielakkan dan pengalaman ini menjadi pengajaran untuk menghadapi situasi seumpamanya pada masa hadapan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Claudio Alvarado pula berkata, pihak berkuasa sedang giat menjalankan usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Dalam Negeri, Maximo Pavez, memaklumkan menerusi platform X bahawa sesi persekolahan pada Jumaat digantung di sembilan wilayah sebagai langkah berjaga-jaga.
Di bandar Penco, wilayah Biobio, sekurang-kurangnya 80 keluarga diarahkan berpindah dari kawasan terjejas.
Datuk Bandar Penco, Rodrigo Vera berkata, angin kencang dan ombak besar yang dilaporkan mencecah ketinggian melebihi 20 meter menyebabkan beberapa kediaman rosak serta jalan raya dinaiki air.
Seorang penduduk terjejas, Claudio Perez berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan pagar rumahnya diterbangkan angin sebelum menyaksikan rumah jirannya runtuh.
“Pagar rumah saya diterbangkan angin. Pada mulanya saya fikir hanya pagar yang rosak, tetapi kemudian saya melihat rumah jiran saya runtuh dan kami semua benar-benar terkejut,” katanya.
Menurut Pesuruhjaya Polis Concepcion, Mejar Marcos Perez, pihaknya sedang membersihkan laluan yang dihalang pokok tumbang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Keutamaan kami ialah memastikan laluan selamat digunakan. Orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhati-hati kerana masih terdapat risiko pokok tumbang,” katanya.
Di Wilayah Metropolitan, media tempatan melaporkan lebih 1,500 penduduk yang menetap di kawasan tebing Sungai Ribera de Rio di Talagante dipindahkan secara berperingkat.
Kerajaan Chile sebelum ini mengisytiharkan darurat di 10 wilayah pada Isnin sebagai persediaan menghadapi sistem cuaca tersebut yang dijangka membawa hujan lebat.- REUTERS