Konflik Asia Barat: Trump tuntut Iran menyerah tanpa syarat

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 7 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan hanya penyerahan tanpa syarat oleh Tehran mampu menamatkan perang yang semakin memuncak di Asia Barat, ketika harga minyak mentah melonjak susulan kebimbangan gangguan bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Israel memperhebatkan serangan udara ke atas Lubnan dan mengumumkan serangan berskala besar terhadap Tehran.
  • Tentera Amerika Syarikat memaklumkan lebih 3,000 sasaran diserang sepanjang minggu pertama perang.
  • Konflik melibatkan negara luar menggugat tenaga dan pengangkutan dunia; laluan Teluk hampir terhalang, harga minyak melonjak.

Konflik semakin meningkat apabila Israel memperhebatkan serangan udara ke atas Lubnan serta pengumuman serangan berskala besar terhadap Tehran.

Dalam masa sama, tentera Amerika Syarikat memaklumkan lebih 3,000 sasaran telah diserang sepanjang minggu pertama perang melibatkan AS dan Israel terhadap Iran.

Konflik tersebut kini melibatkan negara di luar rantau berkenaan, menggugat sektor tenaga dan pengangkutan dunia serta mencetuskan kekacauan di kawasan sekitar Teluk yang lazimnya aman.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, merayu supaya rundingan diplomatik yang serius diadakan, sambil memberi amaran keadaan itu boleh “melarat di luar kawalan sesiapa sahaja”.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula menyuarakan sokongan terhadap gencatan senjata segera di Iran dalam perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menurut Kremlin.

Namun Trump menolak cadangan rundingan baharu dengan Tehran.

Menerusi platform Truth Social, Trump menegaskan tiada sebarang perjanjian akan dimeterai kecuali Iran menyerah kalah tanpa syarat.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata Iran akan dianggap menyerah tanpa syarat apabila presiden memutuskan negara itu tidak lagi menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan objektif operasi telah tercapai.

Trump turut berjanji membantu membangunkan semula ekonomi Iran sekiranya Tehran melantik pemimpin yang “boleh diterima” olehnya bagi menggantikan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang dilaporkan terbunuh hujung minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak mentah dunia terus meningkat berikutan laluan tenaga penting di Teluk, Selat Hormuz, dilaporkan hampir terhalang sepenuhnya.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah, Brent North Sea, melonjak kepada AS$92.69 setong, meningkat 8.5 peratus dalam sehari dan hampir 30 peratus sepanjang minggu ini. -AFP