
LONDON, 2 April – Beberapa negara Asia kini beralih kepada sumber bahan api alternatif sebagai langkah segera menangani tekanan bekalan tenaga susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat.
- India memperluas sumber import tenaga kepada lebih banyak negara untuk kurangkan kebergantungan pada laluan pembekalan tradisional.
- Langkah sementara termasuk peningkatan import diesel Bangladesh, penjualan terhad Euro 2 di Filipina, dan giliran penggunaan kenderaan Korea Selatan.
- Perdana Menteri Jepun menggesa tindakan antarabangsa termasuk pelepasan rizab minyak untuk menstabilkan harga tenaga global.
Peralihan itu dilihat sebagai pendekatan sementara ketika stok bahan api semakin menyusut, selain usaha memastikan kesinambungan bekalan domestik.
Bangladesh, misalnya, meningkatkan import diesel daripada pelbagai negara bagi menampung kekurangan bekalan.
Kerajaan Filipina pula membenarkan penjualan terhad bahan api “Euro 2” bagi memenuhi keperluan semasa meskipun kurang berkualiti dan lebih mencemarkan alam sekitar.
“Manakala pemerintah India memperluas sumber import tenaga dengan menambah jumlah negara pembekal daripada 27 kepada 41 negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada laluan bekalan tradisional,” menurut laporan Reuters.
Dalam pada itu, Korea Selatan mengumumkan pelaksanaan sistem giliran penggunaan kenderaan selama lima hari dalam sektor awam sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api.
Sementara Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menggesa tindakan penyelarasan di peringkat antarabangsa termasuk pelepasan rizab minyak bagi menstabilkan harga tenaga global.
Langkah-langkah tersebut mencerminkan kesediaan negara-negara Asia menyesuaikan strategi tenaga masing-masing dalam menghadapi krisis, meskipun berdepan cabaran dari segi kos dan kesan terhadap alam sekitar. – REUTERS