
JAKARTA, 18 Oktober – Pihak berkuasa Indonesia mengehadkan akses pelancong ke Penanjakan, lokasi popular untuk menikmati panorama Gunung Bromo di Jawa Timur, susulan kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal di beberapa kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru.
- Kebakaran bermula berhampiran Pusung Dawa di Probolinggo pada 13 Oktober sebelum merebak ke kawasan taman negara.
- Api terkawal pada 14 Oktober tetapi marak semula 15 Oktober, mengorbankan empat anggota bomba dan sukarelawan; dua lagi cedera parah.
- Kementerian Kehutanan kesan 270 titik panas dengan keyakinan tinggi sehingga 9 malam Sabtu, Kalimantan Tengah catat 92 titik panas tertinggi.
Pihak berkuasa taman negara itu memaklumkan bahawa sekatan berkenaan berkuat kuasa mulai pukul 9.30 malam waktu tempatan pada Sabtu, dengan perjalanan ke kawasan itu dihadkan setakat Lemah Pasar sehingga dimaklumkan kelak.
“Semua pelancong, pengendali pelancongan dan orang ramai digesa mematuhi sekatan berkenaan serta mengutamakan keselamatan semua pihak,” menurut notis yang dimuat naik pihak berkuasa itu di media sosial.
Menurut pihak berkuasa berkenaan, kebakaran bermula berhampiran Pusung Dawa di Probolinggo pada 13 Oktober lepas sebelum merebak ke kawasan taman negara itu.
Kebakaran berjaya dikawal pada keesokan harinya, namun api kembali marak pada 15 Oktober, mengorbankan empat anggota bomba dan sukarelawan serta menyebabkan dua yang lain cedera parah.
Secara berasingan, Kementerian Kehutanan melaporkan sebanyak 270 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 9 malam Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 92 titik panas.- BERNAMA