
ROM, 9 Jun – Pihak berkuasa Itali melancarkan siasatan terhadap Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, berhubung layanan terhadap aktivis flotila bantuan Gaza pada pertengahan Mei lalu.
- Pendakwa raya di Rom menyiasat dakwaan penyeksaan dan penahanan tidak sah terhadap aktivis flotila.
- Rakaman dimuat naik Ben-Gvir didakwa menunjukkan layanan memalukan terhadap aktivis, mencetuskan kecaman dan kemarahan antarabangsa.
- Perancis membuka siasatan jenayah perang dan penyeksaan serta mengenakan larangan kemasukan terhadap Ben-Gvir; Israel menafikan dakwaan.
Pendakwa raya di Rom pada lewat Isnin mengumumkan bahawa Ben-Gvir sedang disiasat dalam satu siasatan yang memfokuskan kepada dakwaan penyeksaan dan penahanan tidak sah terhadap aktivis yang menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pihak pendakwaan turut meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Israel bagi membantu siasatan tersebut.
Pada pertengahan Mei, Israel telah memintas gerakan flotila yang terdiri daripada lebih 50 bot yang sedang menuju ke Semenanjung Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Lebih 400 aktivis, termasuk warga Itali, dilaporkan cuba menembusi sekatan laut yang dikenakan Israel ke atas Gaza.
Kontroversi tercetus selepas satu video yang dimuat naik oleh Ben-Gvir didakwa menunjukkan aktivis flotila yang ditahan dilayan secara memalukan.
Rakaman itu mencetuskan kecaman dan kemarahan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, sebagai reaksi terhadap siasatan yang dijalankan oleh Itali, Ben-Gvir menyindir menerusi platform media sosial X dengan berkata, “Negara berbentuk but itu telah bertukar menjadi negara selipar.”
Dalam perkembangan berkaitan, pihak pendakwa antikeganasan Perancis turut membuka siasatan berhubung dakwaan penyeksaan dan jenayah perang yang dikaitkan dengan layanan kontroversi Israel terhadap aktivis-aktivis berkenaan.
Bagaimanapun, Israel menafikan dakwaan berlakunya keganasan fizikal dan seksual terhadap mereka yang ditahan.
Sementara itu, Perancis telah mengenakan larangan kemasukan terhadap Ben-Gvir. Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut dilaporkan mengecam tingkah laku Ben-Gvir dalam isu berkenaan.
Kes ini dijangka menambah tekanan diplomatik terhadap Israel ketika negara haram itu terus berdepan kritikan antarabangsa berhubung konflik di Gaza dan layanan terhadap aktivis kemanusiaan yang cuba menyalurkan bantuan ke wilayah tersebut.