Israel lancar serangan dron, 13 penduduk terbunuh

Keadaan terkini kem pelarian Jabalia yang diserang rejim Zionis. Foto/AFP

GAZA, 9 Januari – Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin maut dengan lima daripadanya kanak-kanak dalam serangan dron tentera Israel awal pagi Khamis.

Data itu dikemas kini jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal yang menegaskan, serangan itu menjadi pelanggaran perjanjian gencatan senjata terbaharu Israel.

Menurut Bassal, terdapat dron yang merempuh sebuah khemah perlindungan penduduk di selatan Gaza sehingga mengakibatkan tiga kanak-kanak terkorban.

Di utara Gaza, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia berhampiran kem pelarian Jabalia selepas diserang dron.

Serangan sama juga dilancarkan di sebuah sekolah berhampiran Khan Yunis yang mengorbankan dua individu.

Dua lagi penduduk termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan di kawasan lain.

Terdahulu pada sebelah petang, tentera negara haram Israel turut membedil sebuah rumah di timur Gaza yang membunuh empat orang penduduk.

“Jumlah kematian telah meningkat kepada 13 orang sejak pagi. Tindakan ini secara terang-terangan melanggar perjanjian gencatan senjata,” kata Bassal kepada AFP.

Sejak gencatan senjata dilaksanakan pada 10 Oktober 2025, sekurang-kurangnya 425 rakyat Palestin di Gaza terbunuh.-AFP