Iran umum peraturan maritim baharu susulan ketegangan di Selat Hormuz

Selat Hormuz  (foto RAZIEH POUDAT / ISNA / AFP)

ISTANBUL, 2 Mei – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan “peraturan baharu” di kawasan pesisir pantai negara itu di Teluk Parsi dan Selat Hormuz, dengan menyatakan langkah berkenaan dibuat atas arahan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik penyiar tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGC akan melaksanakan kawalan ke atas hampir 2,000 kilometer garis pantai Iran di Teluk Parsi dan Selat Hormuz.
  • Ketegangan meningkat selepas Tehran menyekat laluan perairan strategik sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel bermula 28 Februari.
  • Gencatan senjata 8 April melalui pengantaraan Pakistan tidak mencapai kata sepakat; sejak 13 April Amerika Syarikat melaksanakan sekatan laut terhadap trafik maritim Iran.

Tentera Laut IRGC memaklumkan ia akan melaksanakan kawalan ke atas “hampir 2,000 kilometer (1,243 batu) garis pantai Iran” di kawasan itu, sekali gus menjadikan “perairan berkenaan sebagai sumber mata pencarian dan kekuatan bagi rakyat Iran serta sumber keselamatan dan kemakmuran bagi rantau itu,” menurut Press TV milik kerajaan pada Jumaat malam.

Ketegangan berkaitan Selat Hormuz terus memuncak apabila Tehran menyekat laluan di perairan strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Feb lepas.

Satu gencatan senjata diumumkan pada 8 April lepas menerusi pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun tiada kata sepakat dicapai.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu secara unilateral tanpa menetapkan jangka masa baharu, atas permintaan Pakistan.

Sejak 13 April, Amerika Syarikat melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan air berkenaan. / BERNAMA