Jerman anggap pengunduran tentera AS sudah dijangka

Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat di Ramstein/AFP

BERLIN, 2 Mei – Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius menegaskan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Jerman merupakan langkah yang telah dijangka, sambil menyeru Eropah memperkukuh keupayaan keselamatan sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentagon umum pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman dalam tempoh setahun.
  • Pengumuman berlaku ketika Presiden AS umum kenaikan tarif sehingga 25 peratus ke atas import kenderaan dari EU.
  • Trump mengkritik Canselor Jerman Friedrich Merz mengenai pendiriannya terhadap isu Iran dan senjata nuklear.

“Pengunduran tentera AS dari Eropah, termasuk Jerman, sememangnya dijangka. Kita di Eropah perlu memikul tanggungjawab lebih besar terhadap keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Pentagon pada Jumaat mengumumkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman dalam tempoh setahun akan datang, sekali gus mencerminkan ketegangan terbaharu dalam hubungan transatlantik susulan konflik Asia Barat.

Langkah itu turut berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif sehingga 25 peratus ke atas import kenderaan dari Kesatuan Eropah (EU).

Trump pada masa sama mengkritik Canselor Jerman, Friedrich Merz berhubung pendiriannya terhadap isu Iran, dengan menyifatkan beliau tidak memahami perkara berkaitan senjata nuklear.

Sebelum ini, Trump memaklumkan Washington sedang menilai pengurangan kehadiran tenteranya di Jerman dan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.-AFP