Iran tidak mahu perang, sedia pertahankan hak kedaulatan – Mojtaba Khamenei

Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei/REUTERS

TEHRAN, 10 April – Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menerusi mesej bertulis terbaharunya menegaskan bahawa Republik Islam itu tidak mahu berperang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, namun akan tetap mempertahankan hak kedaulatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mojtaba menyatakan Barisan Penentangan sebagai satu kesatuan termasuk sekutu seperti Hizbullah di Lubnan.
  • Iran mencapai gencatan senjata rapuh dua minggu dengan AS, membuka kemungkinan rundingan damai selepas ancaman Presiden Trump.
  • Mojtaba menggesa rakyat terus berhimpun kerana sokongan awam memberi pengaruh besar terhadap hasil rundingan.

Dalam mesej yang dibacakan melalui televisyen rasmi pada Khamis, Mojtaba menyatakan bahawa Iran tidak pernah mencari jalan untuk berperang.

“Kami tidak mencari peperangan dan kami tidak mahukannya.

“Namun, kami tidak akan melepaskan hak sah kami dalam apa jua keadaan, dan dalam hal ini, kami menganggap seluruh ‘Barisan Penentangan’ (Resistance Front) sebagai satu kesatuan,” katanya, merujuk kepada sekutu Tehran termasuk Hizbullah di Lubnan.

Kenyataan itu menyusul selepas Iran bersetuju dengan gencatan senjata rapuh selama dua minggu dengan AS, yang berpotensi membawa kepada rundingan damai selepas menerima pelbagai ancaman daripada Presiden AS, Donald Trump.

Meskipun gencatan senjata telah diumumkan, Mojtaba mengingatkan rakyat Iran supaya tidak menganggap bahawa sokongan di jalanan tidak lagi diperlukan.

“Suara anda di dataran awam pastinya akan memberi pengaruh yang besar terhadap hasil rundingan tersebut,” jelasnya menerusi mesej berkenaan.

Mojtaba Khamenei, yang dipercayai cedera dalam serangan udara yang mengorbankan bapanya, Ali Khamenei pada 28 Februari lalu, masih belum membuat penampilan di khalayak ramai sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi.

Sepanjang tempoh itu, beliau hanya mengeluarkan kenyataan bertulis yang dibacakan oleh penyampai televisyen negara.

Meskipun Donald Trump sebelum ini membuat spekulasi bahawa Mojtaba mungkin telah meninggal dunia, media rasmi Iran menafikan dakwaan itu dengan menyatakan beliau sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan, selain menyiarkan foto beliau tanpa menyatakan tarikh ia dirakam. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.