
STADE, 30 Jun – Angka korban akibat tembakan rambang di sebuah pusat kebajikan belia di bandar Stade, utara Jerman, pada Isnin, kini meningkat kepada 6 orang.
- Semua mangsa ialah individu dewasa; seorang dipercayai meninggal semasa dirawat di hospital, seorang lagi cedera parah.
- Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.
- Polis awal menyatakan punca berkaitan masalah keluarga, bukan kes pembunuhan kejam terhadap wanita atau motif politik.
- Operasi polis besar menutup pusat bandar, helikopter dikerah; kejadian berhampiran pusat jagaan dan sekolah rendah tetapi tiada kecederaan di situ.
Menurut polis tempatan, kesemua mangsa yang maut ialah individu dewasa, termasuk seorang yang dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala seorang lagi mangsa cedera parah.
Suspek urtama seorang lelaki serta seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal menunjukkan kejadian ini berpunca daripada masalah keluarga, bukan kes pembunuhan kejam terhadap wanita (femisid) dan tidak mempunyai kaitan dengan motif politik atau seumpamanya,” jelas jurucakap polis.
Insiden itu mencetuskan operasi besar-besaran polis di bandar Stade, kira-kira 50 kilometer dari Hamburg.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar kawasan di pusat bandar Stade yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk ditutup kepada orang awam, manakala helikopter polis turut dikerahkan bagi memantau keadaan.
Ahli Majlis Bandaraya Stade, Carsten Brokelmann, berkata insiden berkenaan berlaku berhampiran sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah rendah, namun tiada kanak-kanak atau kakitangan di kedua-dua premis itu yang cedera.
“Kami lega kakitangan serta kanak-kanak di pusat jagaan dan sekolah rendah berada dalam keadaan selamat. Kami juga merakamkan penghargaan kepada anggota polis atas tindakan mereka dalam situasi yang amat huru-hara ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Jerman mempunyai antara undang-undang pemilikan senjata api paling ketat di Eropah, namun insiden tembakan besar-besaran masih berlaku sekali-sekala.
Pada Februari 2020, seorang pelampau berhaluan kanan membunuh sembilan individu di Hanau, manakala pada Mei 2022 pula, seorang lelaki berusia 21 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di utara Jerman, mencederakan seorang kakitangan wanita sebelum ditahan polis. – AFP