Hujan lebat terus landa China, 25 maut akibat banjir kilat

Operasi mencari dan menyelamat di Kawasan Rekreasi Shuangshimen di selatan Gansu / Foto REUTERS

BEIJING, 2 Ogos – Hujan lebat yang berterusan di beberapa wilayah di China mencetuskan banjir kilat, memaksa ribuan penduduk dipindahkan, ketika angka kematian akibat bencana banjir di Wilayah Gansu meningkat kepada 25 orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Di Kawasan Rekreasi Shuangshimen, banjir kilat pada 26 Julai menyebabkan 23 cedera, beberapa khemah dan kenderaan hanyut.
  • Daerah Wangqing, Jilin tingkatkan kecemasan dari Tahap IV ke Tahap III; 8,375 penduduk dari 93 kampung dipindahkan.
  • Changchun catat hujan 32.2 mm sejam menyebabkan limpahan bandar; Chongqing keluarkan amaran jingga dan jalankan kerja pam serta pembersihan.
  • Di Hailin, hujan tinggi naikkan paras sungai sehingga cerun jambatan runtuh; di Kangxian, 6,127 penduduk dipindahkan ke 54 pusat perlindungan.

Sebelum ini, Media rasmi China melaporkan, 10 orang disahkan maut, namun jumlah angka korban telah meningkat pada Ahad, manakala 23 lagi cedera dalam kejadian di Kawasan Rekreasi Shuangshimen di selatan Gansu pada 26 Julai lalu.

Kawasan pelancongan yang terkenal dengan gerbang batu semula jadi, padang rumput tanah tinggi dan aliran sungai itu popular dalam kalangan pengunjung yang berkhemah pada waktu siang.

Banjir kilat itu mengalir deras merentasi kawasan lembah sehingga menghanyutkan beberapa khemah dan kenderaan yang berada di lokasi.

Dalam perkembangan berasingan, hujan lebat yang masih berterusan di beberapa wilayah lain turut menyebabkan pihak berkuasa menggerakkan operasi kecemasan dan memindahkan penduduk dari kawasan berisiko.

Di Daerah Wangqing, Wilayah Jilin di timur laut China, pihak berkuasa meningkatkan tahap tindak balas kecemasan banjir kilat daripada Tahap IV kepada Tahap III selepas daerah itu dilanda banjir dua hari sebelum ini dan dijangka menghadapi satu lagi gelombang banjir kilat.

Seramai 8,375 penduduk dari 93 kampung di lapan mukim dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Di Changchun, ibu negeri Jilin, hujan perolakan pada malam Sabtu mencatatkan taburan hujan maksimum 32.2 milimeter dalam tempoh sejam sehingga menyebabkan beberapa kawasan bandar dinaiki air.

Biro Meteorologi Wilayah Jilin bersama Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar serta Luar Bandar Wilayah Jilin mengeluarkan amaran kuning hujan lebat dan banjir kilat.

Amaran turut dikeluarkan berikutan risiko ribut petir dan angin kencang.

Di Bandar Hailin, Wilayah Heilongjiang, hujan lebat yang berlarutan sejak beberapa hari lalu memaksa penduduk di kawasan tanah rendah dipindahkan.

Paras air Sungai Wuhulin turut meningkat dengan cepat sehingga menyebabkan cerun kon sebuah jambatan runtuh.

Sementara itu, Bandar Longnan di Wilayah Gansu terus menerima hujan lebat dengan jumlah taburan hujan yang tinggi dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh.

Sehingga pukul 4 petang Sabtu, seramai 6,127 penduduk di Daerah Kangxian dipindahkan ke 54 pusat perlindungan sementara.

Di Chongqing, pihak berkuasa mengeluarkan amaran jingga hujan lebat selepas cuaca buruk melanda Daerah Yuzhong, Daerah Dazu dan Kawasan Baharu Liangjiang.

Jabatan meteorologi tempatan turut menaikkan tahap amaran hujan lebat kepada jingga dan mengaktifkan tindak balas kecemasan banjir Tahap IV. Kerja mengepam air dan membersihkan lumpur dijalankan selepas beberapa jalan utama dinaiki air.

Pihak berkuasa menjangkakan hujan lebat akan berterusan sehingga Selasa, dengan beberapa kawasan dijangka menerima taburan hujan antara 150 hingga 200 milimeter.

Pada Julai lalu, ribut di Wilayah Hubei mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.

Di Wilayah Guangxi pula, enam orang maut manakala kira-kira 130,000 penduduk dipindahkan selepas beberapa empangan pecah akibat hujan lebat.

Pada bulan yang sama, kejadian tanah runtuh di Daerah Dangchang, juga di selatan Wilayah Gansu, meragut 21 nyawa. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.