Hamas sedia serah pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokratik Palestin

FOTO REUTERS

GAZA, 20 Januari – Hamas pada Isnin menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk memindahkan kuasa pentadbiran kepada sebuah jawatankuasa teknokratik Palestin yang baru dibentuk bagi mentadbir Gaza dalam fasa pascaperang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hamas bersedia memindahkan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokratik Palestin untuk fasa pascaperang.
  • Peralihan dijanjikan akan dilaksanakan lancar, melindungi hak kakitangan awam dan memastikan kesinambungan perkhidmatan asas.
  • Proses itu dianggap sebahagian fasa kedua perjanjian damai dan dikaitkan dengan tuntutan pengakhiran pencerobohan Israel.
  • Jawatankuasa 15 ahli mula bertugas dari Kaherah dengan keutamaan kepada isu kemanusiaan di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan peralihan pentadbiran itu akan dilaksanakan secara lancar dan teratur, dengan jaminan perlindungan hak kakitangan sektor awam serta kesinambungan perkhidmatan asas kepada penduduk awam.

Kenyataan tersebut menyifatkan peralihan pentadbiran itu sebagai sebahagian daripada fasa kedua perjanjian damai Gaza, sambil mengaitkannya secara langsung dengan tuntutan utama untuk menamatkan sepenuhnya pencerobohan Israel di Gaza.

Hamas turut menegaskan hak asasi rakyat Palestin untuk menjalankan usaha pembinaan semula dengan cara yang memelihara hak kebangsaan dan kedaulatan Palestin, selain mengulangi matlamat penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Jawatankuasa teknokratik Palestin yang dianggotai 15 ahli dan ditugaskan untuk mentadbir Gaza secara sementara dalam fasa pascaperang, secara rasmi memulakan tugasnya pada Jumaat lalu menerusi satu mesyuarat di Kaherah, dengan keutamaan diberikan kepada isu kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, keganasan dilaporkan berterusan di wilayah berkenaan pada Isnin. Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata tiga rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel dalam insiden berasingan di kawasan Khan Younis dan Rafah.

Beliau berkata tentera Israel kerap menyasarkan pusat perlindungan dan kawasan awam, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran jelas dan terang-terangan terhadap semua undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa”.

Sumber tempatan turut melaporkan serangan udara Israel di timur Khan Younis serta bedilan artileri di timur Gaza, termasuk perobohan rumah kediaman.
-REUTERS