
GENEVA, 11 Jun – Pihak berkuasa Switzerland mempertahankan langkah keselamatan yang diperketat menjelang Sidang Kemuncak G7, sambil menegaskan persediaan itu berasaskan pengurusan risiko dan bukannya didorong rasa takut.
- Sekitar 4,000 anggota tentera digerakkan, dengan polis dan kastam bekerjasama; helikopter dan kenderaan tentera ditempatkan di Lapangan Terbang Geneva.
- Demonstrasi anti-G7 dijangka menghimpunkan ribuan, membawa langkah berjaga jaga seperti papan kayu pada tingkap premis perniagaan.
- Sebanyak 21 daripada 28 laluan sempadan akan ditutup; pemeriksaan disasarkan untuk mengurangkan gangguan kepada trafik dan ekonomi.
Di Geneva, pekerja dilihat memasang papan kayu pada tingkap premis perniagaan dan bangunan awam, termasuk restoran serta bangunan pentadbiran sebagai langkah berjaga-jaga menjelang ketibaan pemimpin dunia yang akan menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Evian-les-Bains, Perancis dari 13 hingga 15 Jun.
Satu demonstrasi anti-G7 yang dijangka menghimpunkan ribuan peserta turut dirancang di Geneva pada Ahad. Sekiranya perhimpunan itu diadakan, ia akan mengingatkan insiden pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis semasa Sidang Kemuncak G8 di Evian pada 2003, apabila kekacauan turut merebak ke bandar tersebut.
Pihak berkuasa menjelaskan langkah keselamatan itu mencerminkan skala penganjuran acara berkenaan dan bukannya peningkatan ancaman keselamatan.
Anggota Majlis Negeri Geneva yang mengetuai Jabatan Institusi dan Hal Ehwal Digital, Carole-Anne Kast berkata, setiap acara berskala besar mempunyai risiko.
“Apabila berdepan acara sebesar ini, terdapat risiko yang perlu diuruskan. Tugas kami adalah mengurangkan risiko tersebut bagi memastikan keselamatan orang ramai dan kelancaran sidang kemuncak,” katanya.
Switzerland menggerakkan kira-kira 4,000 anggota tentera di Geneva, Vaud dan Valais bagi menyokong operasi keselamatan. Polis, tentera dan pegawai kastam turut bekerjasama rapat sepanjang tempoh sidang berlangsung.
Helikopter dan kenderaan tentera juga ditempatkan di Lapangan Terbang Geneva yang akan menjadi hab transit utama bagi delegasi negara peserta.
Kast turut menegaskan komitmen Switzerland untuk membenarkan demonstrasi secara aman, namun meluahkan kekesalan kerana Perancis tidak menyediakan ruang lebih luas untuk dialog antara pelbagai pihak berkaitan isu-isu G7.
“Sekiranya tiada kebimbangan keselamatan yang serius, kami akan meluluskan permohonan demonstrasi.
“Apa yang kami kesalkan ialah Perancis tidak mewujudkan keadaan yang membolehkan satu sidang alternatif atau platform dialog diadakan secara lebih terbuka dan tenang,” katanya.
Sepanjang sidang kemuncak berlangsung, sebanyak 21 daripada 28 laluan sempadan akan ditutup, manakala kawalan di pintu masuk lain dipertingkatkan.
Kolonel Jean-Luc Boillat daripada Pejabat Persekutuan Kastam dan Keselamatan Sempadan berkata pemeriksaan akan dijalankan secara bersasar dan bukan secara menyeluruh bagi mengelakkan gangguan kepada aliran trafik serta aktiviti ekonomi.
“Tujuannya bukan untuk memburu sesiapa atau mengeluarkan saman secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Menurut perancang keselamatan, pihak berkuasa turut menyesuaikan strategi mereka dengan ancaman semasa termasuk penggunaan dron serta penyebaran maklumat pantas menerusi media sosial, berdasarkan pengalaman Sidang Kemuncak G8 pada 2003.- REUTERS