
NEW DELHI, 11 Jun – India mengesahkan kesemua 20 anak kapal warga negara itu berada dalam keadaan selamat selepas kapal tangki asfalt MT Jalveer dipercayai diserang Amerika Syarikat (AS) berhampiran pelabuhan Shinas di Oman pada Khamis.
- Kejadian ini merupakan insiden ketiga dalam minggu yang melibatkan anak kapal India di rantau berkenaan.
- Sehari sebelum itu, tiga pelaut India dilaporkan maut dalam serangan ke atas kapal tangki Settebello.
- CENTCOM menyatakan pesawat AS melepaskan dua peluru berpandu Hellfire ke bilik enjin selepas kru gagal mematuhi arahan.
- Kementerian Luar India memanggil wakil diplomatik AS; jurucakap menyifatkan insiden amat membimbangkan dan menyeru penyelesaian diplomatik.
Insiden itu merupakan kejadian ketiga minggu ini yang melibatkan anak kapal India di rantau berkenaan.
Sehari sebelum itu, tiga pelaut India dilaporkan maut dalam serangan AS ke atas kapal tangki Settebello di perairan Oman, manakala kapal tangki minyak Marivex pula mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu tepat AS pada 8 Jun.
Kementerian Luar India memaklumkan pihaknya telah memanggil wakil diplomatik AS di New Delhi sehari sebelum itu bagi menyampaikan bantahan keras terhadap insiden berkenaan.
Tentera AS pada Khamis memaklumkan bahawa sebuah lagi kapal tangki minyak telah dilumpuhkan di Teluk Oman dalam operasi semalaman kerana didakwa cuba mengangkut minyak Iran melepasi sekatan yang dikenakan Washington.
Menurut Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM), kapal MT Jalveer yang berdaftar di Guinea-Bissau telah disasarkan ketika cuba mengangkut minyak dari Iran melalui Teluk Oman.
CENTCOM dalam kenyataan memaklumkan, sebuah pesawat tentera AS melepaskan dua peluru berpandu Hellfire ke bilik enjin kapal tersebut selepas kru kapal berulang kali gagal mematuhi arahan diberikan pasukan tentera AS.
Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal, ketika sidang media di New Delhi berkata MT Jalveer telah diserang Tentera Laut AS dan menyifatkan insiden berterusan itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.
Beliau menegaskan bahawa serangan sedemikian perlu dihentikan serta-merta dan menyeru semua pihak mengutamakan dialog serta penyelesaian diplomatik.- REUTERS