Dua aktivis Flotila Sumud Global dibebaskan, selamat tiba di Barcelona

Aktivis Brazil, Thiago de Avila dan aktivis Sepanyol berketurunan Palestin, Saif Abukeshek akhirnya dibebaskan. Foto AFP

BARCELONA, 11 Mei – Aktivis Saif Abukeshek yang ditahan tentera rejim Israel selama 10 hari selepas kapal Flotila Sumud Global dipintas di perairan antarabangsa, kembali ke bandar Barcelona, Sepanyol pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Abukeshek mahu teruskan solidariti Gaza, mengutuk kelambanan sesetengah kerajaan dan menyorot penderitaan tahanan Palestin.
  • Israel membebaskan lalu mengusir dua aktivis Flotila Sumud Global, selepas tempoh tahanan dilanjutkan beberapa kali.
  • Armada hampir 300 aktivis dipintas dan diserang berhampiran Crete; bot berlabuh di Marmaris untuk penyelenggaraan dan persiapan belayar semula.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Barcelona El Prat disambut ahli keluarga, rakan-rakan serta aktivis pro-Palestin yang melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin’.

Abukeshek berkata perjuangan baru sahaja bermula dan beliau berhasrat meneruskan penglibatan dalam inisiatif solidariti untuk Gaza.

Menurut beliau, kebimbangan utamanya ketika ini adalah keadaan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel dan mendakwa ramai antara mereka berdepan keganasan serta layanan buruk.

Aktivis berketurunan Palestin yang turut memiliki kewarganegaraan Sweden itu turut mengkritik sikap berdiam diri sesetengah kerajaan terhadap tindakan Israel di Gaza.

Beliau berkata misi flotila berkenaan bertujuan memastikan perhatian antarabangsa terus tertumpu kepada Gaza dan situasi kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin di bawah sekatan.

Israel pada Ahad membebaskan dua aktivis Flotila Sumud Global yang dalam perjalanan ke Gaza iaitu aktivis Brazil, Thiago de Avila dan aktivis Sepanyol berketurunan Palestin, Saif Abukeshek sebelum mengusir mereka selepas tempoh tahanan dilanjutkan.

Sebelum ini, tempoh tahanan mereka dilanjutkan sebanyak dua kali oleh rejim Israel.

Sementara itu, terdahulu 38 buah bot Flotila Sumud Global yang dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean, tiba di Daerah Marmaris dalam Wilayah Mugla untuk penyelenggaraan teknikal dan mendapatkan bekalan.

Prosedur kemasukan bagi aktivis yang berada di atas kapal-kapal yang berlabuh satu demi satu di Pelabuhan Marmaris kini sedang dijalankan.

Flotila bantuan ke Gaza itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada 15 April dengan membawa hampir 300 aktivis dari pelbagai negara.

Kesemua bot berkenaan telah berlabuh di pelabuhan itu lewat malam tadi.

Setakat waktu pagi, prosedur kemasukan terkawal bagi aktivis yang tiba dari Pulau Crete, Greece telah dimulakan, manakala persiapan rapi bagi proses undang-undang dan perubatan di daerah itu selesai dilakukan.

Pegawai daripada Global Sumud Turkiye menyatakan bahawa misi kemanusiaan itu akan diteruskan dan flotila berkenaan dirancang untuk belayar semula pada Rabu ini.

Misi Musim Bunga Flotila Global Sumud 2026, yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza, telah dipintas oleh tentera Israel di luar pantai Crete pada 29 April. Flotila bantuan itu diserang pada 30 April berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya di Gaza.

Kapal pertama flotila itu meninggalkan Barcelona pada 12 April, manakala armada utama belayar dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April.

Israel mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduknya berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan ganas selama dua tahun ke atas Gaza bermula Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran di wilayah berkenaan.