
KINSHASA, 27 Julai – Jumlah kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) kini melepasi 3,000, dengan 1,354 kematian direkodkan dalam wabak Ebola ke-17 negara itu, menurut angka rasmi yang diumumkan pada Ahad.
- Wabak melibatkan strain Bundibugyo yang jarang dan tiada vaksin atau rawatan diluluskan, menjadikan kawalan lebih sukar.
- Hampir 90 peratus kes dilaporkan di wilayah Ituri di timur laut, kawasan bersempadan Sudan Selatan dan Uganda, kawasan dilanda konflik.
- Usaha pembendungan terjejas oleh mogok petugas kesihatan dan wabak dijangka berlarutan, sementara vaksin dan rawatan eksperimen sedang dibangunkan.
Peningkatan sebanyak kira-kira 1,000 kes dalam tempoh 10 hari berlaku ketika negara di Afrika Tengah itu terus berdepan wabak Ebola di kawasan timur yang dilanda konflik dan keganasan sejak beberapa dekad lalu.
Sebanyak 3,075 kes telah disahkan di lima wilayah setakat ini, selepas jumlah kes melepasi angka 2,000 pada 15 Julai.
Menurut pihak berwajib, peningkatan keupayaan pengesanan dan ujian telah membantu mengenal pasti lebih banyak kes jangkitan.
Pakar kesihatan memberi amaran bahawa situasi itu semakin sukar dikawal kerana wabak berkenaan melibatkan strain Bundibugyo, iaitu varian Ebola yang jarang ditemui dan masih belum mempunyai vaksin atau rawatan diluluskan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 90 peratus kes dilaporkan di wilayah Ituri di timur laut negara itu, yang bersempadan dengan Sudan Selatan dan Uganda.
Wabak itu dijangka berlarutan selama beberapa bulan lagi, manakala tindakan mogok petugas kesihatan yang menuntut pembayaran gaji tertunggak turut menjejaskan usaha membendung penularan di beberapa hospital.
Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan cecair badan pesakit dan menyebabkan demam berdarah, membunuh lebih 15,000 orang di seluruh Benua Afrika sejak 50 tahun lalu.
Sementara itu, para saintis giat membangunkan vaksin dan rawatan terhadap varian itu.
Universiti Oxford pada Jumaat memaklumkan kumpulan pertama sukarelawan telah menerima vaksin eksperimen yang dibangunkan khusus untuk menentang varian berkenaan.
Beberapa vaksin kini dipercepatkan untuk menjalani ujian klinikal, manakala dua rawatan baharu turut sedang dibangunkan. – AFP