China gesa Filipina hentikan pencerobohan dan provokasi berhampiran Ren’ai Jiao

Foto Reuters

BEIJING, 22 Julai – Pengawal Pantai China (CCG) menggesa Filipina untuk segera menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai pencerobohan, provokasi dan dakwaan tidak berasas susulan insiden membabitkan sebuah kapal Filipina yang didakwa berlabuh secara haram berhampiran Ren’ai Jiao pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua bot getah dari kapal Filipina LT-57 menghampiri bot peronda CCG semasa rondaan rutin.
  • Kedua-dua bot bergerak secara berbahaya, melanggar peronda dan, menurut CCG, menyerang anggota menggunakan pendayung dan galah.
  • CCG mengeluarkan amaran lisan, mengubah haluan dan melaksanakan tindakan balas terkawal menurut undang-undang.
  • CCG akan meneruskan operasi penguatkuasaan di Kepulauan Nansha termasuk Ren'ai Jiao untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim.

CCG menerusi kenyataan memaklumkan pada kira-kira pukul 9.00 pagi, dua bot getah yang dilancarkan dari kapal Filipina LT-57 menghampiri sebuah bot peronda kecil milik CCG yang sedang menjalankan rondaan rutin.

Menurut CCG, kedua-dua bot tersebut bergerak secara berbahaya dan melanggar bot peronda China walaupun telah diberikan beberapa amaran secara jelas supaya menghentikan tindakan berkenaan.

CCG turut mendakwa anggota penguat kuasa China diserang menggunakan pendayung, galah dan beberapa peralatan lain oleh pihak Filipina sepanjang insiden itu berlaku.

Sebagai tindak balas, CCG berkata pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk mengeluarkan amaran secara lisan, mengubah haluan kapal serta melaksanakan tindakan balas yang bersesuaian bagi menstabilkan keadaan.

Tambah kenyataan itu, semua tindakan tersebut dilakukan dengan penuh kawalan dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkaitan.

Selepas insiden berkenaan, CCG mendakwa Filipina telah memutarbelitkan fakta dan membuat tuduhan palsu
terhadap China, yang disifatkannya sebagai usaha untuk mengelirukan keadaan sebenar.

CCG menegaskan akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan di kepulauan Nansha, termasuk Ren’ai Jiao, bagi mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim China.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.