
WASHINGTON, 22 Julai – Ribut Tropika Bertha melanda barat laut Florida pada Selasa dengan membawa hujan lebat dan berpotensi menyebabkan banjir di kawasan pesisir pantai, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS).
- Amaran ribut tropika dan amaran berjaga-jaga dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Florida dan Louisiana.
- NHC menjangka Bertha mula melemah pada Rabu tetapi kesan cuaca masih berterusan.
- Taburan hujan 50 hingga 100 milimeter, sesetengah lokasi hingga 150 milimeter, meningkatkan risiko banjir kilat bandar.
- Gabungan ombak besar dan air pasang berisiko menyebabkan banjir di kawasan pesisir yang biasa kering.
Bertha merupakan ribut kedua musim taufan Atlantik tahun ini, dikesan kira-kira 145 kilometer di barat daya Panama City, Florida, dengan kelajuan angin sehingga 96 kilometer sejam dan dijangka mula melemah pada Rabu.
Amaran ribut tropika serta amaran berjaga-jaga turut dikeluarkan di beberapa kawasan di Florida dan Louisiana.
Menurut NHC, keadaan ribut tropika dijangka terus menjejaskan kawasan yang terlibat sehingga Rabu, manakala gabungan ombak besar dan air pasang berisiko menyebabkan banjir di kawasan pesisir yang kebiasaannya kering.
Bertha dijangka membawa taburan hujan antara 50 hingga 100 milimeter, dengan beberapa lokasi menerima sehingga 150 milimeter hujan sehingga Khamis, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar.
Musim taufan Atlantik tahun ini dijangka lebih sederhana berbanding kebiasaan susulan fenomena El Nino yang mengurangkan pembentukan taufan di rantau berkenaan. Musim taufan Atlantik berlangsung dari 1 Jun hingga 30 November setiap tahun.-AFP