Carney kecam serangan tembakan di pusat Islam di Kanada

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengecam serangan di sebuah pusat Islam di Winnipeg / Foto AFP

MONTREAL, 31 Julai – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengecam insiden tembakan di sebuah pusat Islam di Winnipeg yang disifatkannya sebagai tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada mangsa dilaporkan cedera selepas Pusat Islam Rahma di Winnipeg menjadi sasaran tembakan.
  • Beberapa individu melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan dan menyerang pusat dengan objek tumpul semasa jemaah berkumpul.
  • Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada berkata kejadian mencerminkan peningkatan keganasan berunsur Islamofobia hampir setiap hari di seluruh Kanada.
  • Polis Winnipeg mengetuai siasatan tetapi belum mengenal pasti suspek atau membuat sebarang tangkapan.

Dalam kejadian pada Rabu malam itu, tiada mangsa dilaporkan cedera selepas Pusat Islam Rahma di ibu negeri Manitoba menjadi sasaran tembakan.

Menerusi hantaran di platform X, Carney berkata tindakan ganas itu tidak mempunyai tempat di Kanada.

Carney turut menegaskan pihak berkuasa mendapat sokongan penuh beliau untuk membawa dalang kejadian ke muka pengadilan.

Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada (NCCM) pula memaklumkan beberapa individu melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan sebelum menyerang pusat berkenaan menggunakan objek tumpul ketika jemaah sedang berhimpun di dalam bangunan.

Menurut majlis itu, kejadian berkenaan mencerminkan peningkatan insiden keganasan berunsur Islamofobia yang didakwa berlaku hampir setiap hari di seluruh Kanada.

Polis Winnipeg yang mengetuai siasatan setakat ini belum mengenal pasti suspek atau membuat sebarang tangkapan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.