
ATHENS, 19 Mei – Penunjuk perasaan berhimpun di luar Kementerian Luar Greece di Athens pada Isnin selepas beberapa kapal terlibat dalam misi kemanusiaan antarabangsa Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas tentera rejim Zionis Israel.
- Penganjur berkata Israel memintas 28 kapal flotila di timur Mediterranean, baki 26 kapal masih meneruskan pelayaran menuju Gaza.
- Kementerian Luar Greece memantau rapat dan mengemukakan bantahan diplomatik meminta keselamatan warga Greece yang terlibat dijamin.
- Pasukan guaman flotila menuntut maklumat rasmi tentang semua kapal dan peserta; anggota mendakwa kru ditahan di perairan antarabangsa.
Warga Greece dilaporkan berada di atas lima kapal flotila yang belayar menuju Gaza, dengan sekurang-kurangnya sebuah kapal dipintas pada Isnin.
Penganjur berkata tentera Israel telah memintas 28 kapal mereka di timur Mediterranean, manakala baki 26 kapal masih meneruskan pelayaran menuju wilayah Gaza.
Penunjuk perasaan terdiri daripada aktivis flotilla dan penyokong, peserta demonstrasi antiperang serta komuniti Palestin dilihat mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan di luar kementerian berkenaan sambil dikawal polis.
Terdapat juga sekumpulan penunjuk perasaan memasuki pekarangan bangunan kementerian dan melaungkan slogan di hadapan pintu masuk sebelum ditemui wakil kementerian bagi mengadakan perbincangan.
Kementerian Luar Greece dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan melibatkan perkara tersebut dan telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada pihak berkuasa Israel supaya mengambil semua langkah perlu bagi menjamin keselamatan warga Greece yang terlibat.
Global Sumud Flotilla berlayar buat kali ketiga dari selatan Turkiye pada Khamis lalu selepas beberapa percubaan terdahulu untuk menghantar bantuan ke Gaza dipintas Israel di perairan antarabangsa.
Kumpulan itu memaklumkan seramai 426 individu dari 39 negara menyertai flotila melibatkan 54 kapal tersebut.
Ahli pasukan guaman Global Sumud Flotilla, Anastasia Matsoukas berkata pihaknya kini mahu mendapatkan maklumat rasmi mengenai semua kapal dan peserta yang terlibat.
“Apa yang kami perlukan sekarang ialah maklumat mengenai semua kapal dan semua peserta kerana sehingga kini kami belum menerima maklumat rasmi daripada Kementerian Luar atau Kedutaan Greece di Israel mengenai apa yang berlaku kepada peserta dan ke mana mereka akan dibawa,” katanya.
Sementara itu, anggota flotila, Plourarchos Vergis mendakwa Israel sekali lagi bertindak menahan kru kapal mereka di perairan antarabangsa.
“Sekali lagi Israel bertindak dengan menghantar tentera bersenjata bagi menahan kru kami dan menguasai kapal kami di perairan antarabangsa dalam zon mencari dan menyelamat Cyprus,” katanya.- REUTERS