PBB bimbang sekatan Selat Hormuz jejas ekonomi dunia

Selat Hormuz/ REUTERS

NEW YORK, 19 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sekatan terhadap pergerakan barangan melalui Selat Hormuz boleh membawa kesan serius kepada ekonomi global, termasuk inflasi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta risiko krisis makanan pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB memandang serius situasi di Selat Hormuz, menurut jurucakap Timbalan PBB Farhan Haq.
  • Kekurangan bahan api dan baja dijangka memberi kesan ketara kepada negara paling terdedah.
  • Setiausaha Agung António Guterres menuntut pemulihan kebebasan pelayaran mengikut Undang-Undang Laut dan undang-undang antarabangsa.
  • Laporan menyebut Iran menubuhkan Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi; PBB menolak sebarang sekatan pelayaran.

Jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq berkata situasi berkenaan merupakan satu masalah besar kepada dunia, khususnya kerana kekurangan bekalan bahan api dan baja akan memberi kesan ketara kepada negara yang paling terdedah kepada kejutan ekonomi.

Beliau berkata Setiausaha Agung PBB, António Guterres mahu kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dipulihkan selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Undang-Undang Laut.

“Ini adalah satu masalah besar kepada dunia. Kekurangan bahan api dan baja akan mencetuskan pelbagai krisis termasuk kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan yang perlahan dan akhirnya boleh membawa kepada krisis makanan, khususnya kepada negara yang paling tidak mampu menanggung kesan ekonomi.

“Beliau mahu memastikan kebebasan asas pelayaran seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Laut dan undang-undang berkaitan lain dapat dipulihkan,” katanya.

Mengulas mengenai laporan penubuhan satu agensi baharu oleh Iran yang dikenali sebagai Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi bagi mengawal akses di laluan itu, Haq berkata PBB tidak mahu sebarang pihak menyekat kebebasan pelayaran di kawasan tersebut.

“Kami mahu memastikan tiada sekatan terhadap kebebasan pelayaran di laut lepas dan di Selat Hormuz. Kami tidak mahu mana-mana entiti menghalang kebebasan akses tersebut,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.