Wabak Ebola di DRC kecemasan kesihatan antarabangsa – PBB

Farhan Haq/ REUTERS

NEW YORK, 19 Mei – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan peringkat antarabangsa, susulan risiko tinggi penularannya ke negara jiran termasuk Uganda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes dua jangkitan dikesan di Kampala, menimbulkan kebimbangan penularan rentas sempadan.
  • Wabak melibatkan strain Bundibugyo tanpa vaksin berlesen atau rawatan khusus diluluskan.
  • Ituri mencatat lebih 482 kes disyaki sejak April, lapan kes disahkan dan kira-kira 116 kematian.
  • PBB dan rakan kemanusiaan menyokong tindak balas termasuk bantuan teknikal; WFP menerbangkan lebih lima tan bekalan perubatan.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq berkata keputusan itu dibuat selepas dua kes jangkitan dikesan di Kampala, ibu negara Uganda, yang bersempadan dengan DRC.

Beliau berkata pengisytiharan tersebut turut menimbulkan kebimbangan bahawa wabak berkenaan mungkin lebih besar daripada yang dikesan setakat ini.

“Anda akan melihat bahawa semalam WHO telah mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo dan Uganda sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan peringkat antarabangsa.

“Ia sekali gus menekankan risiko tinggi penularan lanjut serta kemungkinan wabak itu lebih besar daripada yang dikesan pada masa ini,” katanya.

Wabak berkenaan melibatkan strain Bundibugyo Ebola, yang setakat ini belum mempunyai vaksin berlesen atau rawatan khusus yang diluluskan.

Wabak tersebut dilaporkan tertumpu di wilayah Ituri, dengan lebih 482 kes disyaki direkodkan sejak April, termasuk lapan kes disahkan dan sekitar 116 kematian dalam kalangan kes disyaki di beberapa zon kesihatan. Ujian ke atas kes-kes disyaki masih dijalankan.

Satu kes turut disahkan di Goma, wilayah North Kivu, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan di kawasan bandar yang padat penduduk.

PBB bersama rakan kemanusiaan sedang menyokong usaha tindak balas yang diketuai kerajaan, termasuk bantuan teknikal dan penempatan pasukan tindak balas pantas oleh WHO.

“Semalam, lebih lima tan bekalan perubatan WHO bersama pakar telah diterbangkan ke Ituri oleh Program Makanan Sedunia bagi memperkukuh usaha tindak balas,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.