
NEW YORK, 12 November – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh berhampiran tapak pembinaan di daerah Flatbush, Brooklyn, New York, pada Rabu.
- FDNY menerima laporan kejadian kira-kira pukul 4 petang, termasuk maklumat mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
- Operasi mencari dan menyelamat menunjukkan struktur kediaman musnah, mendedahkan bilik tidur dan almari pakaian.
- Beberapa mangsa berjaya dikeluarkan, termasuk seorang kanak-kanak dibawa menggunakan pengusung.
- Punca belum pasti; laporan menyebut bangunan dipercayai runtuh ke kawasan penggalian tanah bersebelahan.
Jabatan Bomba New York (FDNY) memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan, termasuk maklumat mengenai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut FDNY, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala sekurang-kurangnya empat lagi dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal. Enam individu lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di bawah timbunan runtuhan, dengan sebahagian struktur bangunan kediaman itu musnah sehingga mendedahkan ruang bilik tidur dan almari pakaian.
Media tempatan turut melaporkan beberapa mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan, termasuk seorang kanak-kanak yang dibawa menggunakan pengusung.
Punca kejadian masih belum dikenal pasti, namun beberapa laporan media menyebut bangunan berkenaan dipercayai runtuh ke kawasan penggalian tanah bersebelahan.
Jabatan Bangunan New York memaklumkan pemeriksanya berada di lokasi bagi membantu operasi menyelamat serta menjalankan pemeriksaan kestabilan struktur bangunan berhampiran.
Sementara itu, Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani meminta orang ramai mengelakkan kawasan kejadian bagi memberi laluan kepada operasi kecemasan.
Beliau turut menyeru masyarakat mendoakan keselamatan mangsa serta anggota komuniti yang terjejas akibat insiden berkenaan.-Afp