
MANILA, 22 Julai – Amerika Syarikat (AS) akan menyalurkan pelaburan strategik kerajaan bernilai AS$2.5 bilion (kira-kira RM11.8 bilion) di Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap ASEAN, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
- AS umum pelaburan strategik di Asia Tenggara sebagai komitmen terhadap ASEAN.
- Rubio mengumumkan bantuan hampir AS$130 juta untuk membersihkan periuk api dan bahan letupan tidak meletup.
- Washington menegaskan pembangunan ASEAN selaras dengan kepentingan ekonomi dan strategik AS, bukan semata amal kebajikan.
- Rubio mendakwa Iran cuba mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, memberi risiko terhadap perdagangan global dan keselamatan maritim.
Rubio turut mengumumkan bantuan hampir AS$130 juta (kira-kira RM610 juta) kepada negara-negara ASEAN bagi membersihkan periuk api dan bahan letupan yang tidak meletup akibat konflik lampau, ketika berucap pada Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat di Pasay City, Metro Manila, pada Rabu.
Beliau berkata, pelaburan itu dibuat kerana pembangunan ASEAN adalah selaras dengan kepentingan ekonomi dan strategik Washington.
“Kami melabur kerana pembangunan ASEAN juga adalah demi kepentingan AS. Ini bukan amal kebajikan dan bukan kerana kami mahu dilihat sebagai baik hati, walaupun saya percaya kami memang begitu. Ini adalah demi kepentingan negara kami,” katanya.
Dalam ucapan sama, Rubio mendakwa Iran cuba menguasai Selat Hormuz dan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui laluan perairan strategik itu, sambil memberi amaran tindakan sedemikian boleh mengancam perdagangan global serta mewujudkan satu contoh berbahaya terhadap kebebasan pelayaran antarabangsa.
Beliau berkata Washington kekal terbuka kepada penyelesaian secara diplomatik, namun mendakwa Tehran gagal memenuhi komitmen yang dibuat semasa rundingan.
Rubio berkata kebebasan pelayaran merupakan prinsip asas yang perlu dipertahankan kerana sebarang ancaman terhadapnya boleh menggugat ekonomi global serta sistem perdagangan antarabangsa yang menjadi asas kepada perdagangan dunia sejak lebih 150 tahun lalu.
Kenyataan Rubio dibuat ketika konflik antara AS dan Iran terus memuncak, sekali gus menjejaskan kelancaran pelayaran kapal dagang melalui Selat Hormuz.
Iran bagaimanapun menolak dakwaan Washington dengan menyalahkan tindakan ketenteraan AS dan Israel sebagai punca ketidakstabilan di Teluk, selain menegaskan laluan selamat bagi kapal perdagangan perlu terus dikekalkan.
Filipina menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2026, manakala ASEAN dan AS dijadual menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dialog pada 2027.
Hubungan AS-ASEAN yang terjalin sejak 1977 merangkumi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan, pendidikan, perubahan iklim dan pembangunan serantau.
Pengumuman pelaburan baharu Washington dilihat sebagai usaha memperkukuh pengaruhnya di Asia Tenggara ketika persaingan strategik dengan China semakin meningkat. – VIORY