
SAN SALVADOR, 22 Julai – Ahli arkeologi menemukan rangka manusia yang dianggarkan berusia hampir 3,000 tahun di pinggir barat ibu negara El Salvador, San Salvador, menurut Kementerian Kebudayaan negara itu.
- Tapak pengebumian ditemui 2 Julai di pusat arkeologi Antiguo Cuscatlán.
- Rangka dipercayai berasal sekitar 850 Sebelum Masihi berdasarkan penemuan awal.
- Ditemui bersama bekas seramik Usulután berbentuk penyu dan sisa dahan ubi kayu tertimbus abu gunung berapi.
- Analisis radiokarbon dan DNA akan dijalankan; penemuan mungkin kaitkan dengan tapak Chalchuapa dan amalan pengebumian purba.
Kementerian itu memaklumkan rangka berkenaan merupakan sebahagian daripada tapak pengebumian purba yang ditemukan pada 2 Julai lalu di sebuah pusat arkeologi di Antiguo Cuscatlán, daerah dalam kawasan metropolitan San Salvador.
Berdasarkan penemuan awal, rangka itu dipercayai berasal sekitar tahun 850 Sebelum Masihi (SM).
Turut ditemukan di dalam liang pengebumian itu ialah sebuah bekas kecil daripada seramik Usulután berbentuk penyu laut serta sisa dahan ubi kayu yang tertimbus di bawah lapisan abu daripada beberapa letusan gunung berapi pada zaman berbeza.
Menurut kementerian itu, rangka manusia berkenaan ditemukan dalam keadaan meniarap dan akan menjalani analisis pentarikhan radiokarbon bagi menentukan usia sebenar penemuan tersebut.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada rangka itu milik seorang lelaki atau wanita.
Pihak berkuasa percaya kawasan berkenaan berkemungkinan menyimpan lebih banyak tinggalan purba yang mempunyai kaitan dengan Tapak Arkeologi Chalchuapa di barat El Salvador.
Pada 1970-an, seramai 33 individu ditemukan di tapak itu, yang dianggap sebagai bukti terawal amalan pengorbanan manusia dalam tamadun Mesoamerika.
Penemuan di Chalchuapa membabitkan 26 rangka manusia lengkap, empat rangka separa lengkap dan tiga tengkorak, dengan kebanyakannya ditemukan dalam keadaan meniarap, tangan dan kaki diikat, selain menunjukkan kesan mutilasi serta pemenggalan kepala.
Tapak Arkeologi Chalchuapa merupakan antara kawasan arkeologi terpenting di El Salvador kerana menyimpan tinggalan tamadun prasejarah yang wujud sebelum kedatangan penjajah Sepanyol.
Penemuan baharu itu dijangka membantu ahli arkeologi memahami dengan lebih mendalam amalan pengebumian, kepercayaan serta kehidupan masyarakat purba di rantau Mesoamerika hampir tiga milenium lalu. – AFP