
WASHINGTON, 29 Jun – Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju menghentikan serangan antara kedua-dua pihak serta merancang untuk bertemu semula bagi menyambung rundingan yang bertujuan menamatkan konflik di Asia Barat, menurut seorang pegawai AS.
- Perjanjian MoU 17 Jun bertujuan capai penyelesaian menyeluruh dan menjejaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
- Di bawah MoU, Tehran setuju pastikan laluan selamat; Washington setuju tarik balik sekatan pelabuhan Iran.
- Rundingan teknikal akan diteruskan merangkumi semua aspek MoU; sumber lapor rundingan disambung Selasa di Qatar.
- Ketegangan berterusan apabila kedua-dua pihak melancarkan serangan; AS menyerang 10 sasaran ketenteraan Iran berkaitan ancaman perkapalan.
Tentera kedua negara saling melancarkan serangan dalam beberapa hari ini meskipun telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Jun lalu yang bertujuan mencapai penyelesaian menyeluruh terhadap konflik dan mengganggu laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Di bawah perjanjian itu, Tehran bersetuju memastikan laluan selamat bagi kapal dagang melalui selat berkenaan manakala Washington pula bersetuju menarik balik sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.
“Rundingan teknikal akan diteruskan merangkumi semua aspek dalam MoU. Kedua-dua pihak akan menghentikan tindakan ketenteraan buat masa ini dan kapal-kapal boleh berlayar dengan bebas,” kata seorang pegawai AS.
Pegawai itu bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh atau lokasi rundingan berkenaan.
Namun, dua pegawai AS serta satu lagi sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan kepada media AS, Axios bahawa rundingan dijadual disambung semula pada Selasa di Qatar.
CNN turut melaporkan perkara yang sama dengan memetik seorang pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump yang berkata kedua-dua pihak akan “menghentikan tindakan ketenteraan buat sementara waktu” dan bersetuju mengadakan rundingan lanjut di Doha pada Selasa.
Trump sekali lagi mengulangi ancaman tindakan ketenteraan sekiranya serangan Iran berterusan.
Beliau berkata bahawa Iran “tidak akan lagi wujud” jika AS “terpaksa” menyambung semula peperangan.
Sejak termeterainya perjanjian yang diusahakan Pakistan bagi menamatkan konflik itu, Washington dan Tehran saling melancarkan serangan serta menuduh satu sama lain melanggar syarat gencatan senjata.
Ketegangan terbaharu tercetus pada Ahad apabila tentera AS memaklumkan bahawa mereka telah menyerang 10 sasaran ketenteraan Iran dengan mendakwa bahawa “tindakan agresif berterusan Iran terhadap perkapalan komersial.” – AFP