AS dakwa musnah lebih 80 sasaran Iran, Bahrain dan Kuwait berjaga-jaga

Tangkap layar serangan udara tentera AS / Foto X CENTCOM

WASHINGTON, 8 Julai – Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa melancarkan serangan terhadap lebih 80 sasaran di Iran dalam operasi terbaharu yang dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan Tehran ke atas tiga kapal dagang di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM berkata operasi menyasarkan kemudahan strategik Iran termasuk sistem pertahanan, rangkaian arahan dan kawalan, radar pantai serta keupayaan peluru berpandu antikapal.
  • Pasukan AS turut menyerang lebih 60 bot kecil milik Kor Pengawal Revolusi Islam di dalam dan sekitar Selat Hormuz.
  • Bahrain membunyikan siren amaran udara dan Kuwait mengaktifkan pertahanan udara selepas ancaman, meningkatkan risiko penyebaran konflik serta gangguan perkapalan dan bekalan tenaga.

Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata, operasi itu menyasarkan beberapa kemudahan strategik Iran termasuk sistem pertahanan, rangkaian arahan dan kawalan, lokasi radar pantai serta keupayaan peluru berpandu antikapal.

Menurut kenyataan tentera AS yang disiarkan menerusi platform X, pasukannya turut menyerang lebih 60 bot kecil milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di sekitar Selat Hormuz.

“Pasukan AS menyerang sistem pertahanan Iran, rangkaian arahan dan kawalan, lokasi radar pantai, keupayaan peluru berpandu antikapal serta lebih 60 bot kecil Kor Pengawal Revolusi Islam di dalam dan sekitar selat itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Ketegangan serantau semakin meningkat selepas Bahrain mengaktifkan siren amaran udara pada Rabu susulan serangan AS terhadap puluhan sasaran di Iran.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan siren itu dibunyikan selepas ancaman keselamatan dikesan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca amaran tersebut.

“Sirennya telah dibunyikan. Orang awam dan penduduk diminta bertenang serta menuju ke tempat selamat terdekat,” menurut kementerian itu yang dihantar menerusi platform X.

Sementara itu, tentera Kuwait berkata pihaknya sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron selepas Iran mengancam untuk melakukan tindakan balas susulan siri serangan AS.

“Pertahanan udara Kuwait kini sedang bertindak terhadap serangan peluru berpandu dan dron musuh,” kata tentera Kuwait dalam kenyataan yang juga menerusi platform X.

Tentera Kuwait bagaimanapun tidak menyatakan lokasi asal serangan itu. Menurut kenyataan sama, sebarang bunyi letupan yang didengar berpunca daripada sistem pertahanan udara yang memintas serangan tersebut.

Perkembangan terbaharu ini menambah kebimbangan bahawa konflik antara AS dan Iran boleh merebak ke negara-negara jiran di rantau Teluk, sekali gus memberi tekanan terhadap keselamatan laluan perkapalan dan bekalan tenaga global. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.