AS, Arab Saudi lancar serangan udara ke atas kumpulan tajaan Iran di Iraq

Foto REUTERS

WASHINGTON, 29 Julai – Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi melancarkan serangan udara bersama ke atas kumpulan tajaan Iran di Iraq pada Selasa, sebagai tindak balas terhadap lebih 30 serangan dron yang dilancarkan sejak 72 jam lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM berkata serangan menumpukan pada tapak logistik dan kemudahan senjata kumpulan yang diarahkan IRGC untuk menyerang tentera AS dan tenaga Saudi di Iraq timur.
  • Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengesahkan penglibatan, berkata serangan berjaya mengenai sasaran di Iraq yang dikaitkan dengan serangan terhadap kemudahan minyak Saudi.
  • Perdana Menteri Iraq arahkan siasatan penggunaan wilayah Iraq sebagai titik pelancaran; CENTCOM lapor peluru berpandu Iran berjaya dipintas.

Menurut kenyataan rasmi Pusat Pemerintahan AS (CENTCOM), serangan berketepatan tinggi itu menyasarkan tapak logistik dan kemudahan senjata milik kumpulan yang diarahkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk menyerang tentera AS serta infrastruktur tenaga Arab Saudi di timur Iraq.

“IRGC dan proksinya mesti menghentikan serangan ini bagi mengelak tindakan ketenteraan lanjut daripada pihak AS,” tegas kenyataan tersebut.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengesahkan penglibatannya dalam operasi tersebut, dengan menyatakan serangan itu berjaya mengenai sasaran yang berpangkalan di wilayah Iraq yang dikaitkan dengan serangan terhadap kemudahan minyak milik kerajaan Arab Saudi.

Tindakan ketenteraan itu menyusul selepas Riyadh melaporkan sistem pertahanan udara mereka berjaya memintas beberapa dron yang menyasarkan kemudahan petroleum di wilayah timur negara itu.

Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, telah mengarahkan agensi keselamatan untuk menjalankan siasatan segera berhubung penggunaan wilayah Iraq sebagai titik pelancaran serangan.

Ketegangan di rantau itu kembali memuncak pada Selasa apabila CENTCOM melaporkan Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dalam serangan mengejut terhadap tentera AS di Asia Barat.

Bagaimanapun, kesemua peluru berpandu tersebut berjaya dipintas dan dimusnahkan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.