
WASHINGTON, 25 Mac – Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pelan damai 15 perkara kepada Iran dalam usaha menamatkan konflik yang kini memasuki minggu keempat.
- Pelan menuntut Iran meleraikan keupayaan nuklear, menghentikan pengayaan uranium dan memberi jaminan tidak membangunkan senjata nuklear.
- Sebagai balasan, ia menawarkan penghapusan penuh sekatan ekonomi, bantuan tenaga nuklear awam Bushehr dan penarikan ancaman mekanisme snapback.
- Iran menegaskan akan meneruskan perang sehingga tuntutan pampasan, pelonggaran sekatan dan jaminan tidak campur tangan dipenuhi.
Menurut laporan media, pelan itu disalurkan melalui Pakistan dan merangkumi isu program nuklear serta peluru berpandu balistik Iran, selain aspek laluan maritim termasuk Selat Hormuz.
Pelan berkenaan dilaporkan menuntut Iran meleraikan keupayaan nuklear, menghentikan pengayaan uranium serta memberi jaminan tidak akan membangunkan senjata nuklear.
Selain itu, Iran juga diminta menghentikan sokongan kepada kumpulan sekutu di rantau itu dan memastikan Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa.
Sebagai balasan, Amerika menawarkan penghapusan penuh sekatan ekonomi, bantuan pembangunan tenaga nuklear awam di Bushehr serta penarikan ancaman mekanisme “snapback”, iaitu kaedah mengembalikan semula sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) secara automatik jika berlaku pelanggaran perjanjian.
Laporan turut menyatakan bahawa Washington sedang mempertimbangkan gencatan senjata selama sebulan bagi memudahkan rundingan lanjut mengenai pelan tersebut.
Bagaimanapun, penasihat tentera tertinggi Iran, Mohsen Rezaei menegaskan negara itu akan meneruskan perang sehingga tuntutan termasuk pampasan, pelonggaran sekatan dan jaminan tidak campur tangan dipenuhi. – REUTERS