59 aktivis GSF 2.0 diculik selamat tiba di Istanbul

Antara 59 aktivis GSF 2.0 yang selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul/AFP

ISTANBUL, 2 Mei – Seramai 59 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang sebelum ini ditahan oleh Israel selepas kapal mereka dipintas di luar pesisir Kepulauan Crete, Greece, selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukarelawan dakwa mereka ditempatkan dalam kontena sesak dan menerima layanan kasar, beberapa dilayan seperti pengganas.
  • Dua anggota jawatankuasa, Thiago Avila dan Saif Abu Keshk, masih ditahan; aktivis tuntut pembebasan mereka dan ribuan tahanan lain.
  • Ahli Parlimen Argentina mengkritik halangan misi bantuan manakala laluan sama didakwa digunakan untuk penghantaran senjata.

Kumpulan berkenaan dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza, melibatkan peserta pelbagai negara termasuk Turkiye, Amerika Syarikat, Itali dan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Turkiye, semua aktivis terbabit dibawa pulang menaiki penerbangan Turkish Airlines.

Ketibaan mereka disambut ahli keluarga serta penyokong di lapangan terbang, dengan sebahagian aktivis melaungkan slogan menuntut pembebasan dua rakan mereka yang masih ditahan.

Sukarelawan flotila, Gorkem Duru, mendakwa mereka ditempatkan dalam keadaan sesak di pusat tahanan maritim selain berdepan layanan kasar sepanjang tempoh tahanan.

“Sehingga pagi Jumaat, kami ditempatkan dalam kontena di pusat tahanan maritim dalam keadaan sesak. Kami turut berdepan layanan kasar, malah ada rakan kami dilayan seperti pengganas,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dua anggota jawatankuasa flotila, Thiago Avila dan Saif Abu Keshk, masih ditahan dan dipercayai dibawa ke Port of Ashdod.

Sementara itu, Ahli Parlimen Argentina, Monica Schlotthauer, mengkritik tindakan menghalang misi bantuan kemanusiaan dan mendakwa laluan laut yang sama terus digunakan untuk penghantaran senjata.

“Di laut yang sama kami ingin menghantar ubat-ubatan, makanan dan kelengkapan sekolah untuk kanak-kanak, kami tidak dibenarkan belayar. Namun, pihak lain dibenarkan membawa senjata untuk membunuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi sukarelawan, Katy Davidson, menegaskan keutamaan kini adalah memastikan pembebasan Avila dan Saif, selain menuntut pembebasan ribuan tahanan lain.

Insiden berkenaan berlaku ketika ketegangan berterusan berkaitan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sering berdepan sekatan keselamatan di perairan berkenaan. – AFP