
BANGKOK, 14 Januari -Sekurang-kurangnya 28 orang maut dan 64 lagi cedera selepas sebuah kren di tapak pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi China-Thailand, di sini runtuh dan menghempap sebuah kereta api penumpang pada Rabu, menurut pihak berkuasa.
- Kren tapak pembinaan runtuh dan menghempap gerabak kereta api penumpang di Nakhon Ratchasima.
- Jumlah mangsa: sekurang-kurangnya 28 maut dan puluhan cedera, ramai dihantar ke hospital.
- Perdana Menteri mengarahkan siasatan, menyeru pindaan undang-undang untuk senarai hitam syarikat bermasalah.
- China menyatakan siasatan sedang dijalankan dan memberi perhatian serius terhadap keselamatan projek serta kakitangan.
Kejadian berlaku di wilayah Nakhon Ratchasima, dengan pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan penumpang yang terperangkap di dalam gerabak keretapi malang itu.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Seorang saksi kejadian, Mitr Intrpanya, berkata beliau terdengar bunyi kuat “seperti sesuatu meluncur jatuh dari atas, diikuti dua letupan”.
“Apabila saya pergi melihat apa yang berlaku, saya dapati kren itu berada di atas sebuah kereta api penumpang dengan tiga gerabak,” kata saksi berusia 54 tahun itu kepada AFP.”
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan, pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.
“Kejadian seperti ini berlaku dengan kerap,” katanya kepada wartawan di Bangkok. “Saya dimaklumkan ia melibatkan syarikat yang sama. Sudah tiba masanya undang-undang dipinda bagi menyenarai hitam syarikat pembinaan yang berulang kali terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar China memaklumkan Beijing sedang menyiasat kejadian itu dan “memberi perhatian serius terhadap keselamatan projek serta kakitangannya”. – AFP