10 hari tertimbus, warga emas Nepal diselamatkan hidup-hidup

Tangkap layar rakaman menyelamatkan Chandrika Shrestha, 64, yang dikongsi menerusi Facebook ‘Armed Police Force, Nepal’ / (Foto kecil: AFP)

NUWAKOT,  5 September- Selepas 10 hari terperangkap di bawah timbunan lumpur dan runtuhan, seorang warga emas Nepal akhirnya ditemukan hidup di rumahnya di daerah Nuwakot yang tertimbus akibat banjir besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chandrika Shrestha, 64, ditemukan polis ketika membersihkan kawasan; dikeluarkan dari rumah berkenaan dan diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan.
  • Rakaman Angkatan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah kelihatan; tingkat bawah ditenggelami lumpur tebal.
  • Anggota keselamatan bersorak ketika Shrestha berjaya dikeluarkan, memberi harapan kepada pasukan penyelamat.
  • Bencana glasier menjejaskan sempadan China-Nepal; jumlah korban gabungan 1,375 maut, lebih 5,500 masih hilang.

Chandrika Shrestha, 64, ditemukan dalam keadaan tubuh dipenuhi lumpur oleh anggota polis pada Sabtu.

“Mangsa ditemukan ketika pasukan polis sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumahnya.

“Dia kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan lanjut,” kata Timbalan Superintenden Polis, Iqbal Hawari.

Rakaman video yang dikeluarkan Angkatan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah Shrestha kelihatan, manakala tingkat bawah ditenggelami lumpur tebal.

Anggota pasukan keselamatan turut bersorak ketika Shrestha berjaya dikeluarkan dari rumah yang tertimbus itu.

Keadaan rumah Chandrika Shrestha yang ditenggelami timbunan lumpur susulan bencana besar pada 26 Ogos lalu/AFP

Penyelamatan Shrestha berlaku pada hari sama seorang pekerja warga China turut ditemukan hidup selepas 10 hari terperangkap dalam sebuah terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa.

Kedua-dua kejadian itu memberi harapan baharu kepada pasukan penyelamat yang masih mencari mangsa selepas gelombang besar air dan lumpur melanda kawasan sempadan China-Nepal berikutan runtuhan glasier dan batuan pada 26 Ogos lalu.

Agensi pengurusan bencana Nepal memaklumkan sebanyak 1,344 mayat telah ditemukan setakat ini, manakala kira-kira 5,000 orang masih hilang.

Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang maut dan 531 lagi masih hilang.

Jumlah keseluruhan korban di kedua-dua negara kini mencecah 1,375 orang, manakala lebih 5,500 masih hilang. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.