RPTM 2026–2035: Hala tuju baharu menyesuai pendidikan tinggi semasa

Foto hiasan/FB USM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Susunan semula keutamaan pendidikan tinggi untuk selaras dengan realiti masyarakat dan pasaran kerja.
  • Penjelasan laluan kemasukan IPTA berdasarkan pencapaian akademik sebagai asas utama perancangan pelajar.
  • Fokus kebajikan pelajar termasuk bantuan kewangan bersasar, pengecualian yuran OKU dan penambahbaikan penginapan.
  • Penekanan bidang pengajian berkaitan teknologi, data dan komunikasi serta pemerkasaan TVET dan MPU untuk identiti negara.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menggariskan hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang dalam suasana yang semakin mencabar dan pantas berubah.

Perbincangan tentang universiti hari ini bukan lagi terhad kepada soal kemasukan atau peperiksaan semata-mata, sebaliknya merangkumi kebajikan pelajar, kos sara hidup, kesesuaian bidang pengajian dan kebolehpasaran graduan.

RPTM cuba menjawab persoalan-persoalan ini dengan menyusun semula keutamaan pendidikan tinggi agar lebih dekat dengan realiti semasa masyarakat dan pasaran kerja.

Pelaksanaannya melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk universiti penyelidikan seperti Universiti Sains Malaysia, sebagai institusi yang menterjemahkan dasar kepada amalan di kampus.

Akses Pendidikan Tinggi Lebih Terancang

Antara perkara yang paling mendapat perhatian dalam RPTM ialah penjelasan laluan kemasukan ke IPTA. Pelajar prauniversiti yang mencapai PNGK 4.0 melalui STPM, matrikulasi, asasi atau diploma dijanjikan peluang kemasukan ke universiti awam.

Maklumat ini memberi isyarat jelas bahawa pencapaian akademik kekal sebagai asas utama, sekali gus membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan mereka lebih awal dan teratur.

Pada masa sama, RPTM menekankan akses pendidikan yang lebih inklusif. Pengecualian yuran pengajian untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di IPTA, politeknik dan kolej komuniti bertujuan mengurangkan halangan kewangan yang sering dihadapi oleh kumpulan ini.

Bagi universiti awam, termasuk USM, langkah ini berkait rapat dengan penyediaan persekitaran pembelajaran yang menyokong keperluan pelajar OKU agar mereka dapat mengikuti pengajian secara bermakna.

Kebajikan Pelajar Sebagai Keutamaan

Selain soal kemasukan, RPTM turut memberi perhatian kepada kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian. Bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar diperluaskan berdasarkan data e-Kasih, membolehkan sokongan kewangan disalurkan secara lebih bersasar.

Pendekatan ini mencerminkan kesedaran bahawa tekanan kewangan boleh menjejaskan fokus dan pencapaian akademik pelajar.

Isu penginapan pelajar juga disentuh melalui perancangan penyediaan lebih banyak tempat tinggal dengan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Kos penginapan sering menjadi antara beban utama pelajar, terutamanya di universiti besar yang menerima pelajar dari seluruh negara.

Di kampus seperti USM, perancangan penginapan yang lebih mencukupi dan berpatutan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pelajar dan suasana pembelajaran yang lebih stabil.

Bidang Pengajian dan Keperluan Masa Depan

RPTM turut menyenaraikan bidang pengajian yang diberi keutamaan selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara. Antaranya ialah undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan (AI), ekonomi, bahasa, komunikasi, pengajian media digital dan sains data. Penekanan ini mencerminkan perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipacu oleh teknologi, data dan komunikasi digital.

Di samping itu, RPTM mengekalkan penekanan terhadap Mata Pelajaran Umum (MPU) seperti Bahasa Melayu, Perlembagaan dan sejarah Malaysia bagi memastikan pelajar universiti bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga mempunyai kefahaman asas kenegaraan dan identiti nasional.

Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui digitalisasi dan penggunaan teknologi turut melengkapkan landskap pendidikan tinggi dengan menyediakan laluan alternatif yang lebih fleksibel dan praktikal.

Secara keseluruhan, RPTM 2026–2035 memberi gambaran tentang satu usaha menyusun semula pendidikan tinggi agar lebih teratur, inklusif dan relevan dengan landskap semasa. Ia menyentuh laluan kemasukan ke universiti, kebajikan pelajar serta hala tuju bidang pengajian yang diperlukan pada masa depan.

Pelaksanaannya bergantung kepada peranan IPTA sebagai pelaksana dasar, dengan universiti awam termasuk USM memainkan peranan penting dalam memastikan perancangan ini dapat diterjemahkan kepada pengalaman sebenar pelajar di kampus.

Dalam konteks ini, RPTM bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi cerminan usaha menyesuaikan pendidikan tinggi dengan keperluan rakyat dan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Miharaini Md Ghani,
Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.