
SAUDARA PENGARANG
- Masakan dalam bulan Ramadan menyatukan keluarga melalui persiapan sahur dan berbuka sebagai ritual sosial penuh makna.
- Resipi ringkas menekankan kasih sayang dan kebersamaan, mengutamakan kehadiran emosi berbanding kemewahan hidangan.
- Adab digital dan penyampaian berhemah membentuk kepimpinan senyap serta budaya komunikasi keluarga yang lebih tenang.
- Dapur menjadi ruang muhasabah, gurau senda dan penyertaan bermakna, bukan fenomena FOMO atau persaingan populariti.
Dalam landskap media sosial yang sering dicirikan oleh sensasi, keterujaan sementara dan persaingan populariti, kemunculan sosok seperti Khairul Aming menawarkan naratif yang berbeza dan menenangkan.
Beliau bukan sekadar pempengaruh masakan, tetapi contoh bagaimana ruang digital boleh dimanfaatkan secara beradab, berilmu dan berimpak terhadap kehidupan keluarga.
Lebih signifikan, pengaruh beliau sepanjang Ramadan memperlihatkan bagaimana masakan boleh menjadi medium komunikasi kekeluargaan, pembinaan nilai dan pengukuhan akal budi rakyat Malaysia.
Ramadan sentiasa menjadi bulan yang mengembalikan makna kebersamaan dalam keluarga. Persiapan sahur dan berbuka bukan sekadar rutin harian, tetapi ritual sosial yang membina hubungan.
Dalam konteks ini, masakan berfungsi sebagai bahasa kasih sayang; bahasa bukan lisan yang menyatukan ahli keluarga melalui perancangan, kerjasama dan perkongsian masa.
Kandungan masakan yang ringkas, tersusun dan praktikal membantu mengurangkan tekanan di dapur, lalu membuka ruang kepada interaksi yang lebih bermakna, meraikan kegembiraan di ruang makan.
Apabila proses memasak menjadi lebih mudah diakses, dapur berubah menjadi ruang dialog. Anak-anak belajar membantu, pasangan berbincang tentang pilihan menu, malah membantu membeli dan persediaan bahan dan ibu bapa berkongsi pengalaman.
Komunikasi berlaku secara natural tanpa paksaan. Inilah kekuatan dapur sebagai pusat interaksi keluarga yang sering terlepas pandang dalam perbincangan moden tentang komunikasi.
Adab Digital dan Gaya Kepimpinan Senyap
Salah satu nilai penting yang dapat diperhatikan ialah adab dalam penyampaian. Bahasa yang santun, penerangan yang berdisiplin dan ketiadaan unsur merendahkan pihak lain menjadikan kandungan masakan ini contoh kepimpinan digital yang matang.
Dalam dunia maya yang pantas menghukum dan gemar menilai, pendekatan berhemah ini mendidik audiens secara tidak langsung tentang cara berkomunikasi.
Adab ini memberi kesan tambahan kepada ruang keluarga. Apabila kandungan digital ditonton bersama, ia membentuk norma perbualan; lebih tenang, lebih fokus kepada manfaat dan kurang emosi melampau.
Secara kolektif, ia menyumbang kepada pembentukan budaya wacana awam yang lebih sihat dan berakhlak. Malah gurau senda dan pembuatan keputusan secara bersama diraikan.
Resipi Ringkas, Kasih Sayang yang Mendalam
Menu-menu ringkas yang diketengahkan sepanjang Ramadan sebenarnya sarat dengan makna kasih sayang. Kesederhanaan resipi—lauk cepat siap, minuman mudah atau pencuci mulut asas—memberi penekanan kepada kehadiran emosi, bukan kemewahan.
Keluarga tidak lagi terikat dengan keperluan menyediakan hidangan kompleks, sebaliknya dapat memberi fokus kepada kebersamaan.
Menariknya, apabila rakyat Malaysia di pelbagai tempat mencuba menu yang sama pada waktu berbuka yang sama, terbentuk satu pengalaman kolektif. Ia menghubungkan dapur-dapur kecil di seluruh negara melalui rasa, masa dan memori yang dikongsi. Inilah bentuk penyatuan sosial yang halus namun berkesan.
Dalam suasana persiapan berbuka, gurau senda sering muncul secara spontan. Kesilapan kecil di dapur, rasa yang terlebih atau terkurang, dan percubaan kali pertama terhadap sesuatu resipi menjadi bahan ketawa bersama.
Gurauan ini bukan remeh; ia berfungsi sebagai pemanis komunikasi keluarga yang meredakan tekanan dan menghidupkan suasana mesra.
Melalui gurau senda, ahli keluarga belajar menerima ketidaksempurnaan dan meraikan usaha bersama. Ia mengajar nilai empati, toleransi dan kebersamaan. Nilai yang amat penting dalam pembinaan hubungan jangka panjang, khususnya dalam suasana ibadah Ramadan.
Menariknya wujudnya gurauan nakal ekoran kegagalan sendiri menepati menu yang dicuba, dan dikongsi di ruang maya ia menjadikannya gurauan keluarga besar satu Malaysia, namun ia masih dalam nada gurau senda yang terkawal dan beradab.
Selain menjadi ruang sosial, dapur juga berfungsi sebagai ruang muhasabah diri. Saat menunggu waktu berbuka dalam keadaan lapar dan bersabar, keluarga berkumpul dalam kesederhanaan. Proses memasak yang tenang membuka ruang refleksi tentang rezeki, pengorbanan dan tanggungjawab terhadap satu sama lain.
Di sinilah masakan berperanan sebagai medium rohani; menghubungkan jasad dan jiwa, individu dan keluarga. Ia membentuk kesedaran bahawa nilai sebenar Ramadan bukan pada kepelbagaian menu, tetapi pada kesyukuran dan kebersamaan. Apatah lagi makna ibadah itu melangkaui bukan sekadar perbuatan berpuasa sahaja.
Bukan FOMO, Tetapi Penyertaan Bermakna
Penting ditegaskan bahawa keterlibatan masyarakat mencuba menu-menu ini tidak wajar ditafsirkan sebagai fenomena fear of missing out (FOMO). Ia bukan dorongan mengejar trend atau takut ketinggalan, sebaliknya satu bentuk penyertaan dalam sedar yang berteraskan nilai.
Keluarga memilih resipi yang sesuai dengan kemampuan dan menggunakannya sebagai alasan untuk berkumpul serta berinteraksi.
Dalam konteks ini, media sosial berfungsi sebagai pemudah cara, bukan pemaksa. Ia menghidupkan dapur sebagai ruang kasih sayang dan refleksi, bukannya medan persaingan atau pameran sosial. Perbezaan ini penting kerana ia membezakan antara pengaruh yang membina dengan populariti yang kosong.
Akhirnya, fenomena ini menunjukkan bahawa pengaruh digital tidak perlu bising untuk berkesan. Melalui masakan, adab dan konsistensi, satu bentuk komunikasi keluarga yang sihat dapat diperkukuh, seterusnya menyumbang kepada pembinaan akal budi masyarakat.
Ramadan diraikan bukan sekadar dengan ibadah dan juadah, tetapi dengan nilai-nilai yang menyatukan keluarga dan rakyat Malaysia secara kolektif.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my