fb fb fb fb fb

Syarikat Malaysia disaran rebut peluang menerusi eksport ke Kazakhstan, Uzbekistan

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Potensi eksport bernilai RM2.4 bilion daripada perniagaan Kazakhstan dan Uzbekistan merupakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan syarikat di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya di Facebook berkata angka yang besar itu mencerminkan keyakinan negara-negara Asia Tengah semakin meningkat terhadap Malaysia.

Selain itu, beliau turut menyatakan MITI akan memastikan komitmen eksport itu direalisasikan secepat mungkin untuk menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Melalui kehadiran MATRADE di Almaty dan Tashkent, kami akan mengembangkan peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia dan MITI akan memastikan ini akan diterjemahkan kepada peluang komersial untuk PKS Malaysia, dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia," kata Tengku Zafrul di Facebooknya.

Dalam pada itu, Malaysia dan Uzbekistan juga bersetuju untuk mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC).

"JTC berfungsi sebagai platform untuk menangani isu-isu kepentingan membincangkan bidang kerjasama yang sedia ada dan yang mungkin baharu, mengukuhkan kerjasama sektor swasta dan seterusnya menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM