fb fb fb fb fb

MIHAS Shanghai kukuhkan Kedudukan Malaysia Dalam Industri Halal Global

MIHAS@Shanghai, bukti kepercayaan global / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 November - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi Shanghai mencatat jualan keseluruhan RM3.2 bilion, melepasi sasaran asal RM3 bilion.

Kenyataan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, pencapaian cemerlang itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dan hab rujukan bagi ekonomi halal.

''Rekod jualan luar biasa di MIHAS@Shanghai bukti kualiti dan kepercayaan global terhadap ekosistem halal Malaysia, serta menandakan satu langkah strategik dalam pengantarabangsaan ekonomi halal negara", menurut kenyataan itu.

MIHAS@Shanghai juga memperkukuh hubungan ekonomi dengan China sebagai rakan dagang terbesar negara dan menjadi kemajuan penting dalam misi eksport halal Malaysia untuk membawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke pentas antarabangsa.

Sepanjang enam hari pameran berlangsung, sebanyak 1,000 sesi padanan perniagaan telah diadakan dengan pemeteraian 16 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan nilai keseluruhan RM922.5 juta.

MIHAS@Shanghai, diadakan bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) yang berlangsung dari 5 hingga 10 November.

Antara sorotan utama MIHAS@Shanghai ialah Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), yang memudahcara sesi padanan perniagaan bersama lebih 100 pembeli antarabangsa, termasuk 20 pembeli premium antaranya dari China, Australia, Brazil, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

FAUZIAH ABD RAHMAN