KUALA LUMPUR, 13 November - Ringgit mempunyai asas kukuh untuk meneruskan aliran peningkatan disokong beberapa pemangkin utama.
Pengarah Urusan Pasaran Global Hong Leong Bank Bhd, Hor Kwok Wai berpandangan, ini termasuk pengurangan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, selain komitmen berterusan disiplin fiskal.
''Keyakinan luaran juga semakin meningkat, dipacu terutamanya perjanjian perdagangan timbal balas baharu yang dimeterai dengan AS.
''Sentimen positif itu menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) serta aliran pelaburan portfolio yang kukuh, khususnya dalam pasaran bon dan ekuiti Malaysia,'' katanya.
Kestabilan itu juga dijangka menyumbang kepada kadar pengumpulan rizab asing yang lebih perlahan oleh bank pusat.
Faktor domestik turut disokong prospek mata wang dolar AS yang lebih lemah berikutan prestasi pasaran buruh yang perlahan.
Ini mengukuhkan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) meneruskan dasar pelonggaran monetari, sekali gus mengurangkan perbezaan hasil antara AS dan Malaysia.
Keyakinan pasaran juga semakin bertambah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 berpotensi melebihi unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, menandakan hala tuju ekonomi yang kukuh.
“HLB mengekalkan prospek positif ringgit, dipacu oleh pemangkin yang dinyatakan selain disokong oleh asas ekonomi negara yang kukuh dan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan.
''Mata wang tempatan juga berpotensi mencatat peningkatan stabil mencecah paras RM4.05 menjelang pertengahan 2026, sekiranya pertumbuhan KDNK sebenar 2025 mencapai unjuran rasmi yang lebih tinggi,'' katanya.