fb fb fb fb fb

MITI teliti cadangan SEZ bersama Singapura, Indonesia

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/RTM

KUALA LUMPUR, 13 November -Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi menilai potensi kerjasama tiga wilayah melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) bersama Singapura dan Indonesia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, perbincangan awal telah diadakan bersama rakan sejawatnya dari kedua-dua negara berkenaan bagi meneliti cadangan penubuhan zon ekonomi khas itu.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, secara prinsip telah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk merealisasikan kerjasama berkenaan.

"Perbincangan sudah dijalankan tetapi kami setuju untuk meneruskan perbincangan setelah kajian mendalam dilaksanakan oleh pegawai kanan kerajaan.

"Perbincangan ini sebenarnya sudah beberapa kali disuarakan tetapi kita tidak pernah membuat kajian
lengkap. Namun, saya melihat berdasarkan Johor-Singapura SEZ, ia nampak memberikan kejayaan positif dan jika gabungan tiga negara, besar kemungkinan ia akan lebih baik," kata tengku Datuk Seri Zafrul ketika menyampaikan Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 di Menara MITI, ibu negara.

TETITIA YUSOFF