fb fb fb fb fb

Subsidi bahan api, CIMB Investment jangka mula pertengahan Jun 2024

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Mei- CIMB Investment Bank Berhad menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api akan bermula seawal pertengahan Jun, tahun ini.

Menurut bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini, unjuran berkenaan sejajar dengan bayangan daripada kerajaan baru-baru ini, bahawa rasionalisasi akan bermula dengan diesel.

“Tarikh pelaksanaan tidak dinyatakan, namun kami difahamkan bahawa pendaftaran untuk sistem 'fleet card’ (diesel bersubsidi) dijadualkan pada bulan depan, jadi Jun dijangkakan menjadi tarikh paling awal."

"Memandangkan proses permohonan untuk 'fleet card’ itu, kami menjangkakan pelaksanaan (rasionalisasi) akan dilakukan seawal pertengahan Jun," kata bank itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan pada Selasa mengumumkan keputusan kabinet untuk memulakan rasionalisasi subsidi bahan api, bermula dengan diesel.

Bagaimanapun, garis masa pelaksanaannya tidak dinyatakan, sementara menunggu pengumuman daripada kementerian berkaitan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali pada Februari lepas menyatakan rancangan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel menjelang Jun 2024.

Menurut Perdana Menteri, penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel itu dianggarkan sebanyak RM4 bilion, bersamaan dengan 0.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM