fb fb fb fb fb

Pulau Pinang sedia pelbagai saluran bantu usahawan Bumiputera

Datuk Rashidi Zinol, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 29 Disember -Kerajaan Pulau Pinang menyediakan pelbagai saluran bantuan bagi menyokong dan memperkasa usahawan Bumiputera di negeri itu.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Datuk Rashidi Zinol berkata, usaha berkenaan sedang giat dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai Bumiputera menceburi bidang perniagaan.

Menurut beliau, sokongan kepada usahawan Bumiputera tidak hanya disediakan di peringkat kerajaan negeri, malah turut melibatkan manfaat dan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Usaha ini bertujuan menggalakkan lebih ramai Bumiputera terlibat dalam bidang perniagaan.

Perkembangan ekonomi semasa juga membuka peluang lebih luas kepada Bumiputera untuk menjadi usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerimaan Sijil Halal sebuah kios makanan, di sini.

Jelas beliau lagi, penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan semakin memberangsangkan dan perlu terus diperkukuh melalui sokongan serta bimbingan berterusan.

Tambahnya, usahawan perlu bersikap proaktif dalam mendekati dunia perniagaan yang dinamik serta memanfaatkan sepenuhnya saluran bantuan yang disediakan kerajaan negeri Pulau Pinang.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN