fb fb fb fb fb

Kerajaan perkenal insentif penyetempatan, perkukuh rantaian automotif tempatan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melawat kawasan pameran pada Majlis Pembukaan Ekspo Automotif dan Teknologi Global (GATE) 2025 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November -Senarai perlu dan insentif penyetempatan akan diperkenalkan bagi memperkukuh rantaian bekalan automotif domestik, sekali gus membuka peluang eksport lebih luas kepada vendor tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu sebahagian daripada strategi mempercepat pembangunan ekosistem pengeluaran kenderaan elektrik (EV) negara.

Jelas beliau, pengecualian cukai EV bagi kenderaan siap penuh (CBU) yang dijadual tamat pada 31 Disember 2025 kini diselaraskan semula untuk menyokong pemasangan tempatan (CKD) dan lokalisasi komponen.

“Peralihan strategik ini bertujuan memperkukuh penyertaan industri dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan serantau.

Juara kebangsaan (pengeluar kenderaan nasional) terus menunjukkan kemajuan kukuh dalam agenda EV negara, termasuk Program EV Perodua yang berada di landasan tepat, manakala Proton baru melancarkan model e.MAS 5," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul, sektor automotif kekal sebagai salah satu tunjang industri Malaysia.

Malaysia turut memegang kedudukan pasaran kenderaan nombor satu di Asia Tenggara bagi separuh pertama 2025, mengatasi pesaing serantau lain.

“Dengan asas semikonduktor kukuh, sumber nadir bumi mencukupi dan ekosistem pembuatan yang matang, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi pusat mobiliti pintar rantau ini,” ujarnya lagi.

GATE 2025, anjuran Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Derrisen Sdn Bhd, menghimpunkan OEM, pembekal komponen dan inovator teknologi dari seluruh dunia.

Penganjuran expo ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam memacu teknologi automotif berasaskan AI dan mobiliti lestari di ASEAN.

Tengku Datuk Seri Zafrul menegaskan bahawa visi GATE 2025 selaras sepenuhnya dengan agenda transformasi industri kerajaan bawah Malaysia MADANI.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN