KUALA LUMPUR, 13 November -Alumni Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) mencatat peningkatan jualan tahunan sebanyak 20 peratus kepada RM39.5 bilion pada 2024, berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, peningkatan itu turut menyumbang kepada kejayaan kepada kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan ke-24 terbesar di dunia.
"Sebanyak RM22.8 bilion atau 57.7 peratus adalah eksport. Ini membuktikan daya saing global SPP semakin kukuh. Penjanaan pekerjaan sebanyak 6,408 baharu juga diwujudkan pada 2024, meningkat 20 peratus berbanding 2023. Daripada jumlah ini, 68.5 peratus adalah jawatan berkemahiran tinggi, manakala selebihnya merupakan jawatan separa mahir." katanya, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2025 (MTC CEO Summit 2025), di sini .
Tambahnya, lebih 11,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini telah diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan eksport PPSPP, peningkatan 10 peratus tahun ke tahun berbanding 2023.
Alumni PPSPP turut berjaya menembusi 115 pasaran antarabangsa baharu, meningkat 49 peratus berbanding tahun sebelumnya. Antara pasaran terbaharu yang diterokai termasuk Qatar di Timur Tengah, Gabon dan Nigeria di Afrika, serta Romania dan Itali di Eropah.
"Pencapaian PPSPP ini jelas membuktikan kejayaan dalam membangunkan keupayaan perniagaan tempatan, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan kemajuan bersama," katanya.