fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia tunjuk momentum kukuh pada suku ketiga 2025

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November - Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh pada suku ketiga 2025, dipacu aliran masuk pelaburan asing, pengeluaran industri yang berkembang, serta prestasi perdagangan yang kukuh.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ,berkata Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat transformasi industri dan perdagangan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

"Setakat suku ketiga, kita melihat peningkatan dalam ketiga-tiga matrik utama, sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jumlah pekerja, dan gaji median dengan nilai tambah KDNK meningkat 3.7 peratus kepada hampir RM96.9 bilion", katanya pada sesi taklimat media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 di Menara MITI, ibu negara.

Beliau berkata prestasi suku tahun ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai serta negara perdagangan yang proaktif.

Potensi pelaburan bernilai RM24.5 bilion dan peluang eksport sebanyak RM33.6 bilion membuktikan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi Malaysia.

Tambahnya, pencapaian tersebut hasil usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh dasar pelaburan dan perdagangan termasuk inisiatif promosi strategik serta kerjasama antarabangsa.

Kerajaan akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas pasaran eksport, selaras dengan visi Malaysia sebagai hab pelaburan dan perdagangan utama ASEAN.

Beliau turut memaklumkan pelaburan digital meningkat kepada RM335.3 bilion sejak 2021, dengan projek pusat data menyumbang RM235 bilion, menunjukkan pertumbuhan pesat sektor tersebut.

ROSLINA BINTI DIN