KUALA LUMPUR, 6 November – Defisit fiskal negara merekodkan pengurangan kepada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 berbanding lima peratus pada 2023.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata angka itu lebih baik berbanding sasaran awal 4.3 peratus, dan dijangka terus menurun kepada 3.8 peratus pada 2025 serta 3.5 peratus pada 2026.
Jelasnya, pencapaian itu adalah hasil reformasi menyeluruh yang dilaksanakan kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI dalam pelan konsolidasi fiskal nasional.
“Pada masa sama, kadar pertumbuhan hutang negara terus berkurang daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 6.4 peratus pada 2024 serta dijangka turun lagi kepada sekitar 6 peratus pada 2025. Ini mencerminkan keupayaan kerajaan mengurus fiskal secara berhemat dan berdisiplin tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, di sini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/BERNAMA
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kerajaan kekal komited mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK, selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850), bagi memastikan disiplin fiskal jangka sederhana dan panjang terus dikekalkan.
Selain itu, bagi meningkatkan hasil negara, kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah strategik termasuk pelaksanaan e-invois secara berfasa mulai tahun lalu serta peluasan skop cukai jualan.
“Namun, dengan mengambil kira kebajikan rakyat, pelbagai barangan keperluan asas seperti ayam, buah-buahan tempatan dan beras dikecualikan daripada cukai. Manakala senarai pengecualian cukai jualan kini merangkumi 1,826 barangan,” jelasnya.
Menurut Lim Hui Ying, langkah-langkah tersebut berjaya mengawal tekanan harga barangan keperluan asas, sekali gus menyumbang kepada kadar inflasi yang kekal rendah pada 1.8 peratus bagi keseluruhan 2024 dan 1.5 peratus pada September 2025.
Sementara itu, kerajaan turut memperkukuh kecekapan perbelanjaan melalui penyasaran subsidi RON95, bagi memastikan sumber fiskal diagihkan secara lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.