SUBANG JAYA, 14 November - Mekanisme pembiayaan kewangan bagi projek peralihan tenaga, akan diwujudkan dengan kerjasama institusi perbankan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata inisiatif tersebut sebagai langkah membantu syarikat yang menyertai projek mesra alam atau projek hijau .
"Sebagai contoh, jika anda membawa peralatan yang bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga, secara definisi, itu bukan projek hijau. Tetapi meningkatkan kecekapan tenaga adalah sebahagian daripada peralihan tenaga.
"Jadi kami sedang bekerjasama dengan industri perbankan dan kewangan untuk membangunkan satu aliran pembiayaan, yang kita sebut sebagai pembiayaan peralihan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) 2023, di sini.
Tambah Rafizi, kerajaan katanya telah memperuntukkan RM2 bilion menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk pembiayaan projek peralihan tenaga.
Justeru kata Rafizi, kementeriannya akan bekerjasama dengan institusi kewangan dalam menentukan jenis dan jumlah pembiayaan yang sesuai bagi projek yang terlibat.