ALOR GAJAH, 9 Januari- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengambil langkah serampang dua mata dalam usaha memperkukuhkan pasaran minyak sawit negara serta menangani sentimen kempen anti minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk memastikan Malaysia sebagai peneraju negara pengeksport minyak sawit di Asia.
"Jadi itu tadi saya sebut adalah kempen-kempen untuk menjatuhkan produk sawit kerana mereka melihat 'market competition' untuk menjual produk mereka atau perkhidmatan itu sahaja"
"Insyaallah kita tangani itu dan pada masa sama kita juga mencari pasaran lebih besar, pasaran baharu untuk meningkatkan hasil kita dan memastikan kita menjadi' leading sawit exporter' negara di Asia, Timur Tengah dan Asia Tenggara", katanya pada program penyerahan bantuan pascabanjir kepada penduduk terjejas di Kampung Pengkalan, Alor Gajah.
Antara negara yang menjadi tumpuan ialah Asia Tengah dan Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan kerana negara-negara itu merupakan pengimport utama sawit negara.